Gambar Hiasan |
PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
sedang mengkaji untuk meluaskan definisi rogol agar meliputi perbuatan
memasukkan sebarang objek atau sebahagian anggota tubuh selain zakar ke
dalam faraj, kata Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata kementerian itu telah memulakan perbincangan dengan
para pegawai daripada Kementerian Kesihatan tentang cadangan membuat
pindaan terhadap Kanun Keseksaan berhubung definisi rogol.
Merujuk kepada kes terbaru di Sibu, Sarawak, Rohani berkata
kementerian itu menyokong agar Seksyen 375 Kanun Keseksaan dikaji semula
untuk memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada remaja perempuan
yang menjadi mangsa rogol.
“Berikutan kes itu, kami akan percepatkan pelaksanaan cadangan
pindaan ini untuk memastikan remaja perempuan yang menjadi mangsa dalam
kes seperti itu mendapat lebih banyak perlindungan,” katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.
Keputusan Mahkamah Rayuan di Sibu Khamis lepas membebaskan Bunya
Jalong, 60, yang mengaku merogol seorang remaja perempuan berusia 14
tahun empat tahun lepas, mencetuskan bantahan orang ramai.
Remaja itu melahirkan seorang anak, yang DNAnya sepadan dengan DNA Bunya.
“Kementerian ini ingin merakamkan kekesalan tidak terhingga berhubung
isu itu dan menggesa ibu bapa serta penjaga supaya lebih berwaspada.
“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihati supaya menyediakan masa
berkualiti mereka untuk mendampingi dan memantau anak masing-masing bagi
mengelak berlakunya kejadian tidak sihat,” katanya.
Rohani berkata bagi seseorang kanak-kanak yang menjadi mangsa
penderaan seksual, kementerian itu akan mengambilnya untuk dijaga dan
diberi perlindungan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta
Kanak-kanak 2001.
Katanya, Akta itu akan berkuat kuasa sekiranya pemangsa seksual
adalah bapa atau penjaga atau anggota keluarganya; atau sekiranya
kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa penderaan seksual dan ibu bapa atau
penjaganya tidak melindungi mangsa daripada perbuatan itu.
“Tetapi, kes terbaru yang melibatkan remaja dari Sarawak ini berbeza
kerana tertuduh adalah orang luar. Remaja itu mendapat perlindungan dan
sokongan daripada keluarganya,” kata beliau. – BERNAMA