Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis Veteran Umno Malaysia Sepetang Bersama Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
hakikat beliau adalah Presiden UMNO pertama yang dipilih melalui sistem
yang lebih terbuka dan demokratik selepas pindaan perlembagaan parti,
perlu dihormati kesemua anggota parti.
Justeru, katanya desakan beberapa pihak untuk beliau melepaskan
jawatan tidak wajar kerana ia membelakangkan kehendak majoriti anggota
parti.
“Sebagai presiden parti, saya amat berterima kasih atas sokongan anda
dan saya dipilih kerana apa? Melalui apa? Melalui permilihan dalam
parti, di mana perlembagaan parti telah dipinda (pada tahun 2009),”
katanya ketika berucap pada Majlis Veteran UMNO Sepetang Bersama
Presiden, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib berkata, sistem pemilihan pucuk pimpinan pada masa kini adalah
lebih terbuka dan telus berbanding sistem terdahulu, yang mana ia
menggunakan undi bonus dan kuota untuk mengekalkan jawatan tertinggi
parti.
Beliau berkata sekiranya beliau mahu kekal memegang tampuk
pemerintahan selama 22 tahun seperti Perdana Menteri Keempat Tun Dr
Mahathir Mohamad (1981-2003), beliau tidak akan bersetuju dengan
cadangan untuk meminda perlembagaan parti.
Najib berkata di sebalik cabaran demi cabaran yang ditempuhi UMNO,
beliau akan terus berjuang demi kepentingan parti serta berusaha
memperbaiki segala kelemahan yang ada.
“Kita nak jaga parti, kita tak boleh hancurkan parti kita, (kerana)
parti kitalah penyelamat kita … orang Melayu tak ada tempat lain
bergantung harap melainkan parti keramat ini. Jangan binasakan UMNO,
sayangilah UMNO dan jagalah UMNO,” katanya dan menambah setiap
permasalahan boleh diperbetulkan dan diselesaikan secara muafakat.
Menurutnya, meskipun UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran, parti itu masih kuat dan mampu menerajui negara.
“Hanya kalau kita berpecah dari dalam sahaja yang akan mengakibatkan kita kehilangan kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan hadirin bahawa penglibatan
beliau dalam politik adalah bagi meneruskan perjuangan bapanya, yang
juga perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
“Kalau Allahyarham merupakan bapa pembangunan negara, bapa
pembangunan luar bandar, pencetus kepada DEB (Dasar Ekonomi Baru),
melahirkan MARA (Majlis Amanah Rakyat), FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan), RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan
Getah), BERNAS (Padiberas Nasional Berhad)), Bank Bumiputra dan pelbagai
lagi agensi dan badan lain.
“Maka saya sebagai anakandanya, berazam untuk bukan saja teruskan
perjuangannya tetapi juga membawa negara kita, rakyat Malaysia, orang
Melayu, ke tahap yang lebih tinggi lagi. Ini azam saya,” katanya.
Najib menegaskan bahawa setiap dasar yang beliau perkenal dan
laksanakan tidak lari dan tergelincir daripada prinsip dan perjuangan
parti.
Perdana Menteri berkata, walaupun DEB sudah tiada lagi, namun agenda
pemerkasaan Melayu dan Bumiputera akan terus diangkat menjadi agenda
nasional selagi beliau memegang tampuk pemerintahan.
Sebagai contoh, beliau berkata, projek Mass Rapid Transit (MRT)
Sungai Buloh-Kajang memperuntukkan hampir 48 peratus daripada jumlah
kontrak keseluruhan kepada syarikat-syarikat milik Bumiputera.
“Siapa kata (kerajaan Barisan Nasional ketika ini) tak ada dasar nak
tolong Melayu dan Bumiputera? Bukan sahaja ada malah diperkasakan lagi.
“Dulu tak ada Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera), sekarang ada
Teraju bagi menyelaraskan agenda pemerkasaan Bumiputera yang mana kita
bermesyuarat pada setiap bulan,” katanya.
Selain itu, Najib berkata, beliau telah lama memperjuangkan nasib
pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera, termasuklah inisiatif
meningkatkan martabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) sewaktu zaman
beliau menjadi Menteri Pelajaran (1995-1999) lagi.
“Siapa yang memartabatkan ITM (Institut Teknologi Mara), menjadi
sebuah universiti? Bukankah saya sewaktu jadi Menteri Pelajaran dahulu?
Siapa yang tetapkan sasaran 200,000 kemasukan pelajar dalam UiTM?
Bukankah saya sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu?” katanya.
Menyentuh mengenai ‘persepsi negatif’ masyarakat tentang dana
pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib berkata beliau
optimis ia mampu diselesaikan menggunakan formula yang bersesuaian.
“(Sekiranya) ada masalah kita betulkan, kita runding bersama secara
muafakat untuk cari jalan penyelesaian. Saya yakin tak ada benda tak
boleh diselesaikan kerana ada formulanya (tersendiri), termasuk 1MDB pun
ada formulanya,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak
mempolitikkan perkara yang dilakukan oleh kerajaan demi kepentingan
rakyat, sebagai contoh pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) oleh
Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini.
“TH punya pembelian, baik jadi tak baik. Dipusingkan cerita kononnya
duit depositor (pendeposit) beli … melenting bila hanya dengar di hujung
telinga dan belum tahu fakta sebenar.
“Tapi bila dah tahu, tepuk dahi, cakap TH (cadang jual semula tanah
itu) patut kekalkan, sebab boleh untung RM180 juta lebih,” katanya.
Selain itu, Najib turut menyatakan perhargaan terhadap veteran UMNO
di bawah pimpinan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali sebagai pengerusi, yang
terus menyokong kepimpinan beliau.
Beliau berkata sokongan daripada seluruh anggota parti termasuk
Veteran UMNO bukanlah bermaksud sokongan peribadi tetapi sokongan untuk
memastikan parti itu kekal relevan bagi menerajui negara. – BERNAMA