KUALA LUMPUR – Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim dan
pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, masing-masing didenda
RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah
Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil
dadah pada 21 Januari lepas.
Zamani, 43, dan Nur Juliana, 32, membayar denda itu.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman turut memerintahkan kedua-dua
tertuduh menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah
Kebangsaan (AADK).
Terdahulu, Zamani yang memakai jaket dan berseluar hitam dan Nur
Juliana mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan semula
kepada mereka.
Sebelum ini, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan tetapi menukar pengakuan hari ini.
Bagi pertuduhan pertama iaitu memiliki dadah jenis heroin seberat
0.60 gram, mereka masing-masing didenda RM3,300 atau 10 bulan penjara
manakala bagi pertuduhan kedua iaitu mengambil dadah, Zamani dan Nur
Juliana didenda RM2,200 setiap seorang atau lapan bulan penjara.
Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis heroin di sebuah
rumah di Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat di sini pada 12.30
pagi, 21 Januari lepas.
Penyanyi itu, yang popular dengan lagu ‘Gerimis Mengundang’, juga
didakwa mengambil dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan
Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira 2 pagi
pada tarikh sama.
Nur Juliana pula didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine pada 2.05 pagi di tempat dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2)
Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3)
akta sama yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak
melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen
15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan
boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua
tahun.
Ketika rayuan, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Zamani dan Nur
Juliana memohon mahkamah mengenakan hukuman denda atas alasan penyanyi
itu telah insaf dan berat badannya kini naik kepada 59 kg daripada 45
kg, selain beliau menghidap sakit belakang kronik yang memerlukan
rawatan intensif dan pembedahan.
“Bagi Nur Juliana pula, dia terjebak dengan dadah berpunca daripada
perasaan ingin tahu, namun kedua-dua anak guam saya menyesal dengan
perbuatan mereka,” katanya.
Mereka juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene, memohon mahkamah mengenakan
hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kesalahan dadah adalah
serius dan tertuduh merupakan artis terkenal yang sepatutnya menunjukkan
teladan baik kepada masyarakat.
Sementara itu, Zamani melahirkan rasa syukur kerana hidupnya berubah selepas ditangkap kerana kes dadah itu.
“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana ditangkap pada 21
Januari lepas…ia menjadi titik penting kepada perubahan yang saya alami
hari ini,” katanya dengan nada ceria kepada pemberita di perkarangan
Mahkamah Majistret itu.
Beliau yang kini mendapatkan rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah
juga kelihatan sihat berbanding keadaan sebelum ditangkap. – Bernama