Difitnah, 1MDB Pertimbang Ambil Tindakan Undang-Undang

ALOR SETAR - Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menegaskan pihaknya memandang serius semua tuduhan fitnah serta berniat jahat yang dilemparkan terhadap syarikat itu dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Dalam satu kenyataan media semalam, pihak 1MDB memberitahu bahawa mereka sedang bekerjasama sepenuhnya dengan Ketua Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang melaksanakan siasatan masing-masing terhadap syarikat berkenaan.

“Pada masa ini, Lembaga Pengarah dan Pengurusan (1MDB) sedang bekerjasama sepenuhnya dengan Ketua Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang melaksanakan siasatan masing-masing terhadap syarikat ini.

“Khususnya kepada Ketua Audit Negara yang sedang menjalankan siasatan bebas ke atas akaun 1MDB, seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri Malaysia.

“Oleh itu, kami memohon orang ramai dan semua pihak berkepentingan agar memahami dan bersabar menunggu keputusan siasatan tersebut,” kata kenyataan berkenaan yang dipetik dari sebuah portal, semalam.

Selain itu, pihak Lembaga Pengarah 1MDB turut menegaskan sekali lagi mengenai akaun syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu yang sememangnya diaudit firma audit antarabangsa, iaitu KPMG pada 2010 hingga 2012, diikuti Deloitte pada 2013 dan 2014.

“Deloitte menandatangani kelulusan akaun 1MDB, pada 2013 dan 2014 tanpa syarat.

“Begitu juga KPMG pada 2010, 2011 dan 2012 meluluskan akaun 1MDB tanpa sebarang syarat,” demikian menurut kenyataan Lembaga Pengarah 1MDB.

Justeru itu katanya, pihak 1MDB tidak mahu mana-mana pihak membuat penghakiman sendiri, tanpa mempunyai fakta menyeluruh sebelum hasil siasatan secara terperinci terhadap syarikat itu dibentang kepada umum.

“Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap Deloitte dan juga Ketua Audit Negara, sama seperti pemegang saham kami, Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Lembaga ini memberikan akujanji, bahawa sekiranya hasil siasatan adalah sebaliknya, segala langkah dan tindakan yang bertanggungjawab akan diambil,” tegas Lembaga Pengarah 1MDB.

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara mengesahkan akaun 1MDB dan menegaskan, jika terdapat sebarang salah laku, tindakan undang-udang akan diambil tanpa sebarang pengecualian.

Pada 9 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebuah pasukan petugas khas dianggotai wakil Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibentuk, untuk menyiasat aduan berhubung kedudukan 1MDB.

Terbaru, pada 12 Mei lalu, Jabatan Audit Negara memaklumkan, jabatan itu giat melakukan pengauditan ke atas 1MDB dan berusaha menyiapkannya secepat mungkin.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, laporan awal audit akan dikemukakan kepada PAC, selewat-lewatnya akhir Jun ini.

Manakala PAC pula sebelum itu menyatakan, prosiding siasatan terhadap 1MDB akan dimulakan 19 Mei ini. -Kedahnews.com