Dijemput Sebagai Tetamu Allah Melalui Pesta Buku... LabbaikAllah!

KUALA LUMPUR – Rezeki isteri, rezeki suami. Itulah yang dirasai oleh seorang pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 yang memenangi visa haji bagi dirinya dan isteri.

Zubaidi Rahmat, 40, seorang penjawat awam yang mengunjungi ruang Pameran Buku Arab Saudi, telah meletakkan nama isterinya pada borang penyertaan yang dihantar di gerai pameran itu.

Katanya, semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT yang membolehkan beliau dan isteri mendapatkan visa haji secara percuma daripada kerajaan Arab Saudi.

“Saya mahu ucap terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memberikan visa secara percuma, In Sya Allah untuk haji tahun ini,” katanya yang ditemui selepas pengumuman nama isterinnya sebagai pemenang.

Menurut Atase Kebudayaan, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr Zayed Al Harethi, pemberian visa haji percuma kepada pengunjung bertuah itu menandakan betapa eratnya hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Katanya, sepanjang 10 hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015, yang berakhir esok, visa haji percuma itu diberikan kepada seorang pengunjung setiap hari.

Bagaimanapun, pengunjung perlu mengisi borang dan menjawab soalan mengenai perihal Islam terlebih dahulu sebelum cabutan pemenang dilakukan.

Aspek mahram pengunjung bertuah berkenaan juga diambil kira, iaitu untuk lelaki bujang satu visa haji sahaja, wanita bujang atau balu diberi tambahan satu visa untuk mahram menemaninya ke Tanah Suci.

Bagi suami atau isteri turut diberi visa tambahan jika seorang daripadanya berjaya memenanginya.

Ruang pameran buku Arab Saudi di pesta buku ini menyediakan pelbagai buku daripada serata universiti terkemuka Arab Saudi.

Buku itu bukan untuk dijual tetapi diberikan secara percuma kepada pengunjung.

Ini merupakan penyertaan kali ketiga kerajaan Arab Saudi dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. – BERNAMA