Dilanda Gempa 7.8 Skala Richter, Tapi Masjid Jamek Nepal Langsung Tak Terjejas

Masjid Jamik Nepal
KATHMANDU – Meskipun digegarkan dengan gempa sekuat 7.8 skala Richter pada 25 April lalu, Masjid Jamik Nepal di ibu kota Kathmandu masih berdiri tegak, walaupun banyak bangunan lain runtuh ‘mencium’ bumi.

Malah paling ajaib, tiada dinding yang terkupas atau retak di masjid tersebut manakala kegiatan ekonomi di sekitar kawasan rumah Allah itu masih sibuk dengan kedai-kedai sudah mula dibuka dibanjiri orang ramai.

Seorang anggota jawatankuasa masjid, Mohammad Rizwan berkata: “Kami bersyukur, ini semua kerana kuasa Allah.” Beliau menambah, kali terakhir bangunan masjid itu menjalani kerja ubah suai ialah pada 1995 lalu.


Lebih aneh kira-kira 600 meter dari Masjid Jamik Nepal, berdiri Masjid Khasmiri Taqiya dan bangunan tersebut juga didapati tidak mengalami sebarang kerosakan di sebalik gempa terkuat dalam sejarah Nepal sejak 80 tahun.

Paling pelik, ia berusia lebih 500 tahun, iaitu dibangunkan pada 1524 dan Rizwan menceritakan lagi: “Ada beberapa masjid di sekitar Kathmandu. Sebahagian besarnya berumur lebih 100 tahun tetapi tiada yang rosak.”

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Arkeologi Nepal, Bhesh Narayan Dahal yang dipetik laporan media tempatan, hampir 200 buah tapak warisan di negara itu rosak teruk akibat gempa dan kini meragut lebih 7,000 nyawa.


Ini temasuk Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti tiga Durbar Square di Kathmandu, Bhaktapur dan Patan. Di Durbar Square, sebilangan khazanah kuil purba Buddha dan Hindu dilaporkan hancur musnah sama sekali.

Dahal menambah: “Saya boleh mengatakan 90% daripada tapak warisan sejarah rosak. Ada yang sebahagiannya retak, ada runtuh sepenuhnya. Ada yang kami perlu merobohkannya kerana bahaya sudah tidak lagi selamat.”

Selepas Nepal dilanda gempa akhir bulan lalu, anggota jawatankuasa masjid-masjid di sekitar Kathmandu mengadakan mesyuarat tergempar untuk mencari mana-mana warga Muslim tempatan yang terkorban.


Hasilnya ujar Rizwan, agak luar biasa apabila hanya dua yang ditemui maut dan beberapa orang lain disahkan cedera. Sebahagian besar daripada keluarga Muslim di pusat bandar raya Kathmandu juga terselamat.

Kini, Masjid Jami Nepal dijadikan sebagai pusat penghantaran bantuan logistik untuk mangsa gempa bumi dengan kebanyakannya merupakan bantuan makanan seperti beras, air bersih dan makanan segera.

Rizwan memberitahu: “Bantuan kemanusiaan ini diberikan oleh pelbagai lapisan masyarakat Muslim Nepal. Kami kemudian akan mengagih-agihkan penghantaran ke mana-mana penduduk yang lebih memerlukan.”

Dianggarkan terdapat 1.1 juta penganut Islam di Nepal, menjadikannya agama ketiga terbesar selepas Hindu dan Buddha. Angka itu merangkumi kira-kira 10% jumlah keseluruhan penduduk Nepal. – Agensi