ALOR SETAR - Impian seorang nenek mahu mendirikan rumah tangga bersama kekasih
hatinya yang merupakan warga Pakistan hancur berkecai apabila mereka
bukan sahaja ditipu oleh ejen yang menguruskan pernikahan malah kerugian
wang tunai hampir RM3,000.
Lebih perit bagai jatuh ditimpa tangga, pasangan itu turut dicekup atas tuduhan berkhalwat di sebuah "homestay" di Bukit Kayu Hitam, semalam.
Ketika serbuan jam 12.45 tengah hari, pasangan tersebut dikatakan
sedang menunggu kehadiran jurunikah dari Thailand.
Namun tidak disangka, mereka kemudian telah diserbu
oleh sepasukan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu
(PADKP) selepas menerima laporan berhubung kegiatan maksiat di rumah inap berkenaan.
Difahamkan, pasangan dari Johor itu baru tiba di Changlun pada sebelah
pagi dengan ditemani oleh anak perempuan ‘bakal’ pengantin perempuan,
serta rakan lelaki warga Pakistan tersebut.
Wanita tersebut dan lelaki Pakistan itu turut dikatakan sudah menjalinkan
cinta sejak tiga tahun lalu sebelum merancang untuk berkahwin selepas
kematian suaminya. -Kedahnews.com