Kuala Lumpur – Lelaki yang menyamar sebagai doktor memperdaya seorang
wanita berusia 24 tahun untuk mengahwininya sehingga kerugian RM7,800,
tahun lalu, dipenjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret
di sini, semalam.
Majistret Nurliana Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd
Khairul Afendy Zulfikrie Tazan, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah
apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh yang memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek itu kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menperdaya seorang wanita untuk
mengahwininya sehingga mangsa menyerahkan RM7,800 bagi pembayaran pakej
perkahwinan di premis di Jalan Semarak, di sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Oktober tahun lalu sehingga Februari lalu di apartmen di Bandar Baru Selayang.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap, iaitu 8 Mei lalu. – myMetro