Dr. Badut Tahan Sedih Depan Kanak-Kanak Pesakit Kronik


SAMA seperti pekerjaan lain, komitmen selaku ‘doktor badut’ turut menuntut komitmen yang tinggi bagi mereka yang memilih mahu menggalas profesion tersebut.

Selain menuntut masa kerja yang tidak menentu, mereka perlu mengasah bakat dari segi komedi fizikal untuk melakukan persembahan melalui pendekatan teater kerana badut hospital perlu berinteraksi dan berkomunikasi secara terus dengan pesakit yang ingin dihiburkan mereka.

“Doktor badut melakukan tugas berbeza dengan badut-badut lain, contohnya badut hari jadi. Kita perlu ada kemahiran komedi fizikal agar dapat melakukan persembahan sambil berinteraksi dengan pesakit. Kita tidak mempunyai sebarang skrip yang telah diolah terlebih dahulu.

“Persembahan berbeza mengikut usia pesakit. Kita juga akan melakukan sedikit kajian dahulu mengenai pesakit yang bakal dihiburkan supaya dapat menghiburkan mereka tanpa menyentuh sebarang sensitiviti.

“Saya sering memperkenalkan diri kepada pesakit dan penjaga yang kami ini adalah ‘doktor palsu’. Doktor badut adalah penghibur profesional yang berlagak seperti doktor sebenar.

“Mereka (doktor badut) dipilih berdasarkan kemahiran artistik dan kepekaan tinggi kepada keperluan perubatan seseorang pesakit kanak-kanak,” kata Iskandar.

Pendekatan yang lebih lembut digunakan untuk bayi manakala pendekatan lebih agresif diterapkan kepada pesakit kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.

“Jika bayi lebih lembut pendekatannya, kanak-kanak 12 tahun pendekatannya lebih agresif sesuai dengan usia. Tujuan kami ajak bermain supaya mereka dapat menikmati zaman kanak-kanak seperti rakan-rakan lain di luar.

“Bila di hospital mereka kehilangan segala kebebasan untuk bermain atau dalam erti kata lain mereka dewasa sebelum umur sepatutnya,” kata  Iskandar yang gemar membiarkan pesakit kanak-kanak bebas membuat pilihan dengan memberikan smile stick berwarna untuk dipilih sendiri.

badut
Iskandar bersama siri buku cerita kanak-kanak yang ditulisnya sendiri yang ditempatkan di perpustakaan mini Wad Kanak-Kanak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ketika ditanya pernahkah mereka membuat persembahan tetapi tidak mendapat perhatian atau tak diendahkan oleh pesakit Iskandar berkata, “Kita harus memahami pesakit-pesakit ini lemah dan sebagai seorang penghibur, jika hari ini tiada sebarang interaksi tidak mengapa.

“Seorang doktor badut perlu ada kemahiran komunikasi, kemahiran mendengar yang baik selain perlu sentiasa sensitif dengan keperluan pesakit,” katanya.

Seperti mana pesakit dan ibu bapa mereka, doktor badut juga tidak terlepas dengan bebanan emosi yang perlu dipikul sepanjang melakukan tugasan.

Tipulah kalau kata sepanjang bertugas, tidak pernah sekali pun keadaan pesakit yang kronik menyentuh hati doktor-doktor badut yang bertugas ini.

badut2
Antara koleksi siri buku cerita tulisan Iskandar yang diinspirasikan daripada kisah sebenar pesakit kanak-kanak yang pernah ditemuinya.
Namun, menurut Iskandar seboleh mungkin dia tidak akan menunjukkan perasaan sedihnya di hadapan pesakit kerana enggan terhanyut dengan perasaan memandangkan tugas hakiki mereka adalah menghiburkan adik-adik yang sedang dalam kesakitan.

“Cabaran menjadi doktor badut ialah kita perlu berdepan dengan bebanan emosi kerana berdepan dengan pesakit kronik seperti kanser.

“Tapi kita mesti sentiasa berfikiran terbuka, cuba menyerap segala perkara yang dapat mempengaruhi emosi dan tahu bagaimana untuk mengawal dan mengurusnya.

“Ini penting supaya kita sentiasa berada dalam keadaan mood bersedia untuk bermain dengan kanak-kanak,” jelasnya lagi yang sering bekerjasama dengan pasukannya yang terdiri daripada Dr. Lat yang akan bermain Ukelele dan Uncle Twist yang akan membentuk belon menarik untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak.

badut1
Penulis mengabadikan kenangan bersama pasukan Doktor Badut Red Bubbles, Dr. Lat (kiri) bermain ukelele dan Uncle Twist, pengubah belon dan Iskandar, penaung Red Bubbles Malaysia.
Setakat hari ini, Doktor Hospital Red Bubbles mengadakan lawatan berkala seminggu sekali di wad kanak-kanak HUKM dan sebulan sekali di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Dalam melakukan pekerjaan mulia ini, tak kurang juga ada pihak yang bersikap skeptikal terhadap usaha yang dilakukan.

Mengulas mengenainya, Iskandar berkata dia tidak ambil pusing cakap-cakap negatif orang luar yang menyifatkan pekerjaan yang dilakukannya ini satu ‘kerja bodoh’.

“Saya tidak mahu buang masa dengan orang yang berfikiran skeptikal, yang penting kami lakukan tugas sehingga berjaya dan satu hari nanti saya pasti orang akan menerima pekerjaan kami sebagai suatu bidang yang sama seperti bidang pekerjaan penting lain di luar sana,” ujarnya.

Buat anda yang ingin menghulurkan sumbangan dan dana bagi terus merancakkan lagi program kebajikan Red Bubbles, anda boleh layari laman Facebook Red Bubbles di Facebook.com/myredbubbles.