Dua Beradik Yatim Piatu Terima RM10,000 Dari Celica Club Malaysia

Wakil dari kelab kereta Celica Club Malaysia yang menziarahi Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Akila.
ALOR SETAR – Nasib dua beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa dalam satu kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) baru-baru ini terus mendapat perhatian ramai terutama daripada kelab-kelab kereta tanahair.

Terbaru, beberapa wakil dari kelab kereta Celica Club Malaysia menziarahi dua beradik tersebut dan menyampaikan sumbangan wang tunai RM10,000 kepada Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Akila.

Presiden Celica Club Malaysia, Marko Tung berkata, ahli-ahlinya amat bersimpati dengan nasib dua beradik tersebut dan berjaya membuat kutipan sebanyak RM10,000 sebagai sumbangan.

“Kami akan mengambil berat dalam perkara ini kerana insiden tersebut memberi kesan ke atas semua kelab kereta dalam pelbagai cara.

“Sebanyak RM10,000 berjaya dikumpulkan oleh ahli kami dalam hanya tempoh beberapa hari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam insiden kemalangan itu, sepasang suami isteri Fairuz Nizam Husain, 35, dan Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, 7 bulan, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.

Kemalangan berkenaan dipercayai berpunca daripada perbuatan beberapa ahli sebuah kelab kereta Myvi berlumba haram di lebuh raya berkenaan. -Kedahnews.com