Shamsul (dua, kanan) berbual dengan Fatimah (dua, kiri). |
Fatimah Zainal, 56, berkata, dia dan anak lelakinya terpaksa keluar dari rumah sewa mereka disebabkan masalah kewangan.
"Makcik hidap banyak penyakit, termasuk kencing manis, darah tinggi dan jantung, manakala anak (Saibun, 24) baru selesai dibedah.
“Wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar sewa terpaksa digunakan untuk membiayai kos rawatan makcik menyebabkan kami berdua terpaksa tinggal di pelantar ikan dan bangunan terbiar di kawasan ini," katanya.
Difahamkan, Fatimah tidak bekerja dan bergantung harap kepada Saibun yang bekerja sebagai nelayan.
Nasib dua beranak ini mendapat simpati Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani.
Shamsul berkata, pihaknya akan menempatkan dua beranak berkenaan di sebuah motel buat sementara waktu.
"Kita turun padang melawat dua beranak ini di bangunan terbiar itu sebaik menerima maklumat daripada orang ramai.
"Anak wanita berkenaan masih muda dan memiliki masa depan cerah. Kita bimbang dia akan terdedah dengan aktiviti tidak sihat jika terus dibiarkan dalam persekitaran sebegitu," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan cuba mendapatkan bantuan bersesuaian bagi meringankan beban sekali gus membantu dua beranak ini.
"Kita simpati dengan keadaan dua beranak ini dan GPMS akan berusaha memanjangkan masalah ini ke pengetahuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)untuk diberikan perhatian," katanya. - Sinar Harian