KUALA LUMPUR – Pemuda DAP (Dapsy) mahu kerajaaan menambah baik
layanan yang diberikan terhadap golongan pelarian di Malaysia bagi
menghormati hak asasi mereka.
Ahli Jawatankuasa Dapsy, Dyana Sofya Mohd. Daud berkata, kenyataan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa Malaysia harus berhenti dari
menjadi “hos” kepada pelarian tidak wajar.
“Timbalan Menteri patut lebih peka dalam isu kemanusiaan. Kumpulan
pelarian ini amat terdesak dan memerlukan bantuan kemanusiaan oleh
kerana pergolakan yang berlaku di negara mereka.
“Mereka datang ke Malaysia dan negara-negara jiran kerana mencari
tempat perlindungan. Adakah kita tidak berperikemanusiaan dan membiarkan
sahaja mereka terseksa tanpa bekalan air minuman dan makanan di
perairan negara kita,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, katanya, Dapsya menggesa kerajaan Malaysia mengambil langkah
proaktif untuk menyelamatkan pelarian terbabit dengan mengutamakan
semangat kemanusiaan.
“Kerajaan Malaysia sepatutnya memulakan misi mencari dan menyelamat
dan bukannya menolak dan meninggalkan golongan yang sangat memerlukan,”
katanya.
Pihak berkuasa baru-bauru ini dilaporkan tidak menerima kehadiran bot
dinaiki ribuan pendatang asing termasuk pelarian Rohingya di perairan
negara.