EKSKLUSIF: Doa Wanita Iringi Kemenangan Suhaimi

PERMATANG PAUH - Wanita mendoakan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh demi membawa perubahan ke arah kebajikan rakyat di parlimen yang sejak sekian lama tidak terbela.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menegaskan bahawa calon PKR, Wan Azizah sudah pernah menjadi ahli parlimen di Permatang Pauh, namun gagal menjaga kebajikan rakyat di kawasan tersebut.

Rohani berkata, ekoran kegagalan ahli parlimen Permatang Pauh sebelum ini menjaga kebajikan rakyat di kawasan berkenaan, Suhaimi perlu diberi peluang untuk membawa perubahan serta membuktikan bahawa BN lebih berpengalaman untuk menjaga kebajikan rakyat.

"Kita tidak boleh tinggalkan mereka.. kita perlu bela dahulu sebelum negara kita mencapai negara maju.

"Ini seruan saya..berilah kepada Suhaimi..ini doa dari wanita," katanya membawa doa wanita untuk rakyat Permatang Pauh supaya diberikan seorang ahli parlimen baru yang lebih mementingkan rakyat.

Katanya, rungutan dari rakyat di DUN Kajang baru-baru ini membuktikan bahawa Wan Azizah gagal menjaga hal ehwal dan kebajikan rakyat yang diwakilinya meskipun menjanjikan "bulan dan bintang" ketika berkempen PRK di situ sebelum ini.

Justeru itu, Rohani yang ditemui Kedahnews.com secara eksklusif sebentar tadi mempersoal kemampuan Wan Azizah untuk menjaga kebajikan rakyat di Permatang Pauh sekiranya menang PRK di sini.


Berbanding dengan Suhaimi yang merupakan anak jati Permatang Pauh, Rohani yakin anak muda itu lebih arif untuk membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat yang sudah sekian lama tidak dipeduli oleh wakil rakyat sebelum ini.

"Kita ikuti perkembangan di media arus perdana dan media sosial dan kita dapati bebenarnya rakyat di Permatang Pauh kehausan dari segi pembangunan yang sepatutnya rancak di sini.

"Jadi, inilah masanya.. sebab Barisan Nasional memang sentiasa hendak mencurahkan bakti ke Permatang Pauh.

"Saya nampak Suhaimi ni angkatan baru.. masih muda.. ada idea-idea yang baru, kreativiti, bertenaga.. jadi insyaAllah saya yakin dia akan membawa kawasan ini ke satu lagi tahap yang sepatutnya dinikmati rakyat namun terbantut disebabkan kekangan-kekangan tertentu.

"Berilah ruang pada Suhaimi yang mewakili BN untuk membawa kawasan ini ke satu tahap yang sebenarnya di nanti-nantikan oleh rakyat di Permatang Pauh.

"Dia adalah seorang anak jati (Permatang Pauh), saya rasa hasrat dia selama ini nak melihatdan membawa pembangunan di Permatang Pauh ni.. berilah peluang padanya," katanya memberi sokongan penuh terhadap calon BN, Suhaimi Sabudin.

Mengulas mengenai kempen PKR yang mendakwa Wan Azizah akan membawa suara wanita ke parlimen, Rohani menegaskan bahawa suara wanita memang sudah cukup lantang di Parlimen memperjuang kepentingan kaum hawa di negara ini.


"Di dalam parlimen sekarang ni dah bergema suara wanita, dalam parlimen tu ramai juga wakil rakyat wanita, kita BN (menerusi kementerian) pun jelas mendengar suara wanita dan menjaga kepentingan mereka.

"Jadi kalau dia berkempen kata dia nak menang jadi wakil rakyat di Permatang Pauh ni nak bawa suara wanita, maka saya rasa tak payahlah, memang dah bergema suara wanita dalam parlimen tu," katanya.

Rohani ditemui Kedahnews.com ketika merasmikan Karnival OKU Peringkat Negeri Pulau Pinang di Permata Rawa sebentar tadi. -Kedahnews.com