EKSKLUSIF: Sokong Hudud Lebih Penting Dari GST..! - Pemuda PAS

PERMATANG PAUH - Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Bagan, Azmi Jaafar, menegaskan bahawa menyokong perlaksanaan hudud adalah jauh lebih penting berbanding isu GST yang menjadi bahan kempen politik di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Kata Azmi, perlaksanaan hudud merupakan hukum Allah yang wajib disokong oleh seluruh umat Islam berbanding GST yang bersifat dunia ciptaan manusia yang boleh berubah pada bila-bila masa.
"Hudud la penting!

"Hudud ni adalah hukum Allah, perintah Allah, undang-undang dari Allah.. kita perlu sokong perlaksanaan hudud.. GST tu pulak dunia saja.. boleh diubah bila-bila.. macam ISA la kita boleh hapuskan," kata Azmi ketika dihubungi Kedahnews.com sebentar tadi.

Tambah Azmi lagi, merujuk kepada PRK Permatang Pauh, umat Islam di parlimen itu perlu menolak calon parlimen yang tidak menyokong perlaksanaan hudud kerana wakil rakyat itu tidak akan menyokong pindaan rang undang-undang (RUU) jenayah syariah berhubung hudud yang bakal dibentang oleh PAS di Dewan Rakyat nanti.

"Presiden kami Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan bentangkan enakmen hudud di Parlimen nanti. Jadi, kalau Wan Azizah menang di PRK Permatang Pauh ni, dah pasti dah dia takkan sokong enakmen hudud bila Presiden kami bentang di Parlimen nanti.

"Jadi untuk apa kita sokong pihak yang jelas tolak hudud?," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai GST, Azmi menekankan bahawa dasar percukaian itu hanyalah bersifat duniawi yang boleh berubah sekiranya didesak sebagaimana yang dilakukan terhadap ISA sebelum ini.

Justeru itu Ketua Penerangan Pemuda PAS Bagan itu menegaskan bahawa menyokong pelaksanaan hudud adalah lebih penting untuk diutamakan berbanding GST.

"UMNO bijak sikit dalam hal ni.. depa pakai isu hudud saja dah cukup," katanya. - Kedahnews.com