PERMATANG PAUH - Calon PKR bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah dijangka tidak teragak-agak untuk mengumumkan partinya membuat "pusingan U", menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan di saat akhir sebelum 7 Mei ini.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Bagan, Azmi Jaafar, pengumuman tersebut tidak mustahil dilakukan Presiden PKR itu sekiranya beliau terlalu terdesak untuk menang di PRK di parlimen tersebut ekoran beberapa petanda kekalahannya akhir-akhir ini.
"Tidak mustahil Wan Azizah akan buat pengumuman menyokong hudud saat akhir.
"PKR berpegang pada prinsip 'matlamat menghalalkan cara', dan Wan Azizah boleh menipu pengundi PAS dan umat Islam di Permatang Pauh kononnya dia menyokong hudud sebelum hari mengundi untuk meraih undi," katanya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi, baru-baru ini.
Namun bagaimanapun, Azmi menegaskan bahawa dirinya dan akar umbi PAS tidak akan mudah tertipu dengan pembohongan Wan Azizah, serta tidak akan percaya pada kenyataan itu sekiranya diumumkan Presiden PKR itu.
"Macam-macam depa boleh buat. Depa boleh tiba-tiba sokong hudud.
"Tapi lepas menang PRK, depa boleh buat "u-turn" sekali lagi.. tak sokong DAP pulak.. memang lidah bercabang depa ni," katanya enggan lagi percaya pada Wan Azizah dan PKR.
Azmi sebelum ini bersama kira-kira 100 penyokong dan akar umbi Pemuda PAS Pulau Pinang melakukan demonstrasi mempertahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan mendesak PKR segera meminta maaf atas kebiadapan parti itu menghina Preside PAS berkenaan.
Pemimpin muda PAS itu juga menegaskan bahawa para pengundi dan penyokong PAS akan membuat "kejutan" buat PKR pada 7 Mei ini sekiranya parti itu tidak meminta maaf dan tidak berubah fikiran untuk menyokong usaha perlaksanaan hudud di Kelantan.
Azmi turut menegaskan bahawa pendirian PKR untuk tidak menyokong enakmen hudud itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dikompromi dan menolaknya turut membawa maksud menolak hukum serta ketetapan dari Allah SWT. -Kedahnews.com