KOTA KINABALU – Kerajaan dicadang memperkenalkan sistem resit atau
bil standard dan seragam bagi mengelak pengguna ditipu peniaga tidak
bertanggungjawab yang mengambil kesempatan berikutan pelaksanaan Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST).
Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS)
James Bagah berkata sistem resit atau bil itu mesti diperakui Jabatan
Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan peniaga khususnya yang berdaftar GST
diwajibkan hanya menggunakan resit atau bil tersebut.
Menyifatkannya penambahbaikan yang perlu dalam pelaksanaan CBP,
beliau berkata perkara itu penting memandangkan pengeluaran resit atau
bil oleh sesetengah peniaga ketika ini masih mengelirukan pengguna
termasuk di Sabah.
“Resit atau bil meragukan antara laporan diterima daripada pengguna khususnya di negeri ini setelah sebulan GST dilaksanakan.
“Ini kerana, ada peniaga mengeluarkan resit atau bil menggunakan
mesin dan ada juga dengan tulisan tangan. Pengguna tertanya-tanya sama
ada peniaga mengeluarkan resit atau bil dengan tulisan tangan
benar-benar berdaftar GST, diiktiraf dan diperakui sah,” katanya kepada
Bernama di sini, hari ini.
Selain itu, James berkata terdapat juga peniaga yang hanya menyatakan
nombor pendaftaran GST menggunakan cop, yang disifatkannya masih
meragukan memandangkan cop boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.
Justeru, beliau berharap JKDM serta Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa membuat pemantauan dan
mengenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan
kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan.
James yang juga Anggota Majlis Penasihat Pengguna Negara juga
menyarankan supaya penerangan mengenai GST diperhebatkan dengan memberi
tumpuan di kawasan luar bandar berikutan pengguna di kawasan berkenaan
masih kurang memahami sistem percukaian baharu itu.
“GST sudah sebulan dilaksanakan di seluruh negara, namun masih
terdapat pengguna yang keliru mengenai jenis barangan dikenakan cukai,
sifar cukai dan dikecualikan cukai.
“Akibatnya ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang
sesuka hati dan mengenakan GST terhadap barang dikecualikan atau sifar
CBP sehingga membebankan pengguna,” katanya.
James berkata harga barangan sepatutnya mengalami penurunan kerana
caj GST hanya enam peratus berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan
(SST) yang sebelum ini 10 peratus.
“Ada barangan tertentu sepatutnya mengalami penurunan harga empat
peratus, namun peniaga sengaja tidak menolak cukai lama sebelum
mengenakan GST sehingga berlaku kenaikan harga barang,” katanya. –
BERNAMA