ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon pihak kerajaan dan bank-bank di negara ini mengeluarkan satu panduan atau polisi yang selaras untuk persatuan
insurans bagi memudahkan urusan pengguna.
Hal ini berkaitan dengan penerimaan aduan yang dibuat pengguna kepada
pihak mereka di atas kesulitan yang dihadapi ketika membuat tuntutan daripada
mana-mana persatuan insurans.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nazim Johan, langkah ini adalah untuk
memudahkan urusan tuntutan pengguna terhadap persatuan insurans serta
mengelakkan mereka daripada ditipu.
“Kita mahu pihak bank dan persatuan insurans keluarkan satu panduan dan polisi asas yang selaras untuk kepentingan pengguna.
“Kita juga mahukan pihak bank negara dan persatuan insurans membuat
penerangan atau penjelasan kepada pengguna dengan garis panduan yang
jelas supaya mereka tidak teraniaya,” kata Nazim.
Difahamkan bahawa pihak PPIM telah menerima lebih kurang 200 aduan daripada pengguna insurans yang menjadi mangsa kepada kekeliruan ini.
Selain itu, PPIM juga mengharapkan pihak bank negara dapat
mewujudkan satu sistem penerimaan aduan yang lebih berkesan dan tegas
supaya persatuan insurans ini tidak mengambil mudah urusan sebegini. -Kedahnews.com