KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji yang bercadang untuk menjual
tanahnya di Tun Razak Exchange (TRX) telah menerima tiga tawaran
daripada pihak yang berminat membeli tanah tersebut.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Tabung Haji
sedang menimbangkan tawaran-tawaran tersebut yang akan dimuktamadkan
dalam masa dua minggu.
Abdul Azeez berkata, cadangan penjualan berkenaan dibuat atas nasihat
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengelak penyebaran
fitnah secara berterusan, selain meredakan persepsi kurang baik di
kalangan pendeposit.
“Salah satu pembeli telah menawarkan RM188.5 juta, iaitu harga yang
dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), ditambah dengan
keuntungan sebanyak RM5 juta,” katanya pada sidang media di sini hari
ini bagi menjelaskan isu pembelian tanah di TRX.
Bagaimanapun, katanya, Tabung Haji masih menunggu harga tawaran yang lebih baik daripada dua pembeli yang lain itu.
Mengulas mengenai pembelian tanah di TRX, beliau berkata, tanah
berkenaan yang berkeluasan 0.66 hektar dibeli atas keputusan komersil
dan bukan untuk ‘bailout’ atau menyelamatkan 1MDB.
Menurutnya, penilaian dilakukan berdasarkan harga semasa oleh penilai profesional Jones Lang Wootton.
Abdul Azeez berkata, tawaran penjualan tanah berkenaan telah dibuat
oleh 1MDB pada April 2013 pada harga RM220 juta dan selepas dua tahun
dan dua sesi penilaian, ahli lembaga pengarah sebulat suara bersetuju
dengan pembelian tersebut yang dimuktamadkan pada bulan lepas.
Pembelian tanah berkenaan, katanya, diunjurkan berpotensi memberikan
pulangan keuntungan sebanyak sembilan peratus setahun, menepati sasaran
pulangan pelaburan Tabung Haji sekurang-kurangnya enam peratus setahun.
Katanya lagi, jika dilihat kepada nilai pembangunan kasar tanah
berkenaan pada RM828 juta, ditolak kos pembangunan kasar sebanyak
RM650.5 juta, Tabung Haji mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM177.5
juta.
Menurut beliau, penilaian tanah berkenaan pada RM2,774 sekaki persegi
adalah lebih rendah berbanding beberapa transaksi yand dilakukan di
kawasan berhampiran yang melebihi RM3,000 sekaki persegi, termasuklah
pembelian tanah Kedutaan Jerman oleh Malaysian Resources Corporation
Bhd.
Mengenai konflik kepentingan, katanya, perkara berkenaan tidak
berlaku kerana Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan
Sri Ismee Ismail yang juga ahli lembaga pengarah 1MDB berkecuali dalam
semua proses membuat keputusan berhubung pembelian tanah tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua
Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah yang juga Pengerusi anak
syarikat 1MDB, Edra Energy Sdn Bhd, serta panel pelaburan Tabung Haji,
Tan Sri Abdul Samad Alias yang juga anggota panel penasihat 1MDB, juga
tidak terlibat dalam proses kelulusan di pihak 1MDB.
Abdul Azeez memberi jaminan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka
dijamin penuh oleh kerajaan dan wang yang digunakan untuk pelaburan
adalah agihan dana mengikut peruntukan aset yang telah diluluskan oleh
lembaga pengarah, iaitu sekitar RM11 bilion.
Sehingga kini, katanya, Tabung Haji telah melabur RM5.6 billion daripada peruntukan tersebut.
Menurutnya, pulangan daripada pelaburan berkenaan digunakan untuk
subsidi dan pengurusan haji selain pengagihan keuntungan melalui hibah
bonus tahunan di mana Tabung Haji telah membayar purata lebih enam
peratus sepanjang tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Tabung Haji menganggarkan subsidi haji tahun ini berjumlah
sekurang-kurangnya RM120 juta dengan subsidi bagi setiap jemaah
dianggarkan sebanyak RM7,290 bagi mengekalkan kos jemaah menunaikan haji
pada RM9,980 berbanding kos sebenar yang berjumlah RM17,270. – BERNAMA