Fahrin Ahmad dan isterinya, Elena Hani Eleas |
ALOR SETAR - Isteri aktor kacak Fahrin Ahmad, Elena Hani Eleas mendedahkan dia bersedia untuk meninggalkan kerjayanya selaku ketua pramugari syarikat
penerbangan antarabangsa Emirates Airline demi suami tersayang.
Elena menjelaskan, dia sudah berkhidmat sebagai ketua peramugari syarikat penerbangan terkemuka itu selama lapan tahun dan merupakan seorang peguam sebelum menceburkan diri dalam kerjaya kru penerbangan.
“Saya sudah lapan tahun berkhidmat sebagai pramugari dan berpangkalan di Dubai. Sebelum ini saya bekerja sebagai seorang peguam.
“Buat masa ini, saya masih lagi meneruskan kerjaya saya. Tetapi
selepas ini, saya sudah bersedia melepaskan kerjaya saya dan berhenti
kerja demi suami,” kata Elena.
Sebelum ini, Fahrin yang mengadakan dalam sidang media khas seminggu
sebelum majlis pernikahan mengejutkan ramai apabila kisah cintanya tidak
dapat dihidu oleh pihak media mahupun peminat hiburan.
Apatah lagi, Fahrin memilih untuk merahsiakan identiti sebenar bakal isterinya dan hanya berkongsikannya pada hari pernikahan.
Berikutan itu, Elena yang merupakan gadis kelahiran Johor Bharu,
Johor mendapat perhatian meluas rakyat Malaysia setelah sah bergelar
isteri Fahrin.
Menurut Elena dia terpikat dengan tonggak utama filem Pilot Cafe ini kerana sikapnya yang selamba dan menjadi diri sendiri.
“Mengenali Fahrin, dia adalah seorang yang ikhlas. Saya mengenalinya
sebagai seorang individu, bukan sebagai selebriti atau pelakon. Saya
mengenalinya dengan cara begitu, dia menjadi dirinya sendiri,” ujar
Elena.
Jelas Elena, ketika bercinta Fahrin sanggup bersabar menunggunya untuk berhubung bersama meskipun sudah lewat malam.
“Selalunya, saya sentiasa sibuk mengembara ke sana sini dan kami
hanya berhubung menerusi Skype. Kadang-kadang dia menanti sehingga jam
3.00 pagi semata-mata mahu membuat panggilan Skype selepas saya pulang
dari kerja,” katanya lagi.
Fahrin dan Elena sah bergelar pasangan suami isteri dalam sebuah
majlis pernikahan yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre,
Bukit Kiara pada 9 Mei lalu.