Pelarian etnik Rohingya dari Myanmar |
ALOR SETAR – Warga Rohingya sendiri dikatakan menjadi ejen sindiket
yang membawa masuk anggota masyarakat tersebut ke negara ini dan
Thailand.
Satu sumber yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan berkata, ia sudah
menjadi ‘rahsia terbuka’ mengenai pembabitan beberapa individu dalam
kalangan masyarakat Rohingya yang mendalangi kegiatan pemerdagangan
manusia.
“Saya sendiri merasa malu dan sedih kerana orang Rohingya sendiri
yang jadi ejen besar sindiket pemerdagangan manusia di Malaysia dan
selatan Thailand.
“Mereka ini sanggup berlaku kejam kepada bangsa mereka sendiri. Semuanya untuk duit,” katanya kepada Bernama.
Sumber ini merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan
Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang tinggal di Malaysia sejak 30
tahun lalu dan kini menganggotai badan sukarela mengenai pelarian
Rohingya.
Hassan turut menyebut nama beberapa individu Rohingya yang menjadi
tali barut utama sindiket di selatan Thailand yang bertanggungjawab
membawa masuk pendatang asing Myanmar dan Bangladesh ke Malaysia.
Nama-nama yang sering menjadi sebutan dalam kalangan pendatang
Rohingya ialah seperti ‘Anwar’, ‘Hamdullah’, ‘Abdul Hafis’, ‘Yassin’ dan
‘Ali’.
“Mereka inilah yang bertanggungjawab menguruskan kedatangan pelarian
Rohingya daripada Bangladesh dengan menggunakan bot untuk ke kem transit
di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand sebelum diseludup masuk ke
Malaysia,” katanya.
Bot-bot kayu nelayan itu disediakan oleh sindiket pemerdagangan
manusia yang dipercayai bertolak daripada satu lokasi yang dikenali
sebagai Teknaf di Bangladesh, yang bersempadan dengan bandar Mongdu,
Myanmar, tambahnya.
Beliau berkata, sindiket akan melakukan perbuatan kejam terhadap
pelarian Rohingya sekiranya anggota sindiket tidak diberi bayaran.
“Individu Rohingya yang gagal membayar wang kepada sindiket akan
dikurung dan dipukul sehinggalah anggota keluarga mereka membayar wang
sebelum individu tersebut diseludup masuk ke negara ini,” kata Hassan.
Beliau berkata, bagaimanapun disebabkan operasi pihak keselamatan
Thailand, Abdul Hafiz dan Yasin dipercayai telah melarikan diri ke India
sementara Anwar dan Hamdullah dipercayai telah ditahan polis Thailand.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, selepas diseludup masuk ke Malaysia,
pendatang Rohingya akan diserahkan kepada individu daripada bangsa
Rohingya sendiri yang bekerja dengan tali barut sindiket pemerdagangan
manusia di selatan Thailand.
Beliau menyebut tiga nama lagi yang paling kerap disebut individu
Rohingya iaitu ‘Mohd Rafique’ yang dipercayai bekerja dengan Abdul
Hafiz, ‘Samsul Alam’ yang dipercayai menjadi orang kepercayaan Anwar dan
‘Iqbal Ahmad’ yang dipercayai bekerja untuk Ali.
Mereka merupakan bangsa Rohingya daripada Myanmar.
Mohd Rafique, Samsul Alam dan Iqbal Ahmad, jelas Hassan akan membawa
pendatang Rohingya yang baru diseludup untuk ke beberapa lokasi termasuk
rumah sewa sebelum dipindahkan ke lokasi lain di negara ini.
“Selepas dikenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM15,000 untuk
menaiki bot yang membawa mereka ke Thailand daripada Bangladesh,
pendatang Rohingya sekali lagi dikenakan bayaran antara RM2,000 hingga
RM3,000 untuk diseludup masuk pula ke Malaysia,” katanya. – BERNAMA