Felda Tanggung 30% PTPTN Anak Peneroka

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Felda akan menanggung 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pembayaran balik pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di kalangan anak-anak peneroka.

Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada berkata, faedah pengurangan itu terbuka kepada anak peneroka Felda yang menamatkan pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Pertama di semua institusi pengajian tinggi sama ada universiti awam mahupun swasta dalam negara seperti yang disenaraikan Felda.

Beliau berkata Felda akan membiayai 30 peratus bayaran balik daripada jumlah keseluruhan pembiayaan pendidikan anak-anak peneroka Felda yang mendapat pinjaman PTPTN bermula 1 Jan 2014.

“Seramai 1,835 pelajar akan menikmati faedah pengurangan ini yang diperuntukkan oleh Felda sebanyak RM15 juta setakat ini. Faedah ini untuk semua pelajar baharu yang layak tanpa sebarang golongan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Felda dan PTPTN bagi kerjasama pemberian pembiayaan pendidikan dan faedah pengurangan bayaran balik di Menara Felda di sini, hari ini.

Hanapi berkata agensi itu juga telah membelanjakan RM200 juta bagi membantu 42,059 generasi muda Felda untuk mendapat pelbagai manfaat pendidikan bermula Sijil Kemahiran sehingga peringkat Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata faedah pengurangan itu adalah strategi lautan biru yang berjaya direalisasikan antara Felda dan PTPTN dalam melahirkan pembangunan modal insan melalui pendidikan.

Katanya, sejumlah 2.29 juta peminjam telah menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN yang melibatkan peruntukan RM52 bilion sehingga 30 April 2015.

Pada 2012, Felda mengumumkan akan menampung sebahagian kos pinjaman PTPTN yang diberikan kepada anak-anak peneroka Felda. – BERNAMA