Fun Fair Di Bandar Darulaman Diserbu, 10 Pati Diberkas

10 penjaga fun fair ditahan dalam Operasi Kutip, Rabu lalu.
JITRA - Sebuah fun fair di Bandar Darulaman, di sini, yang disyaki menggunakan khidmat pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja diserbu Jabatan Imigresen Kedah kira-kira jam 9.30 malam, Rabu lalu.

Seramai 10 Pati ditahan daripada 15 pekerja yang diperiksa dalam Operasi Kutip yang diketuai Timbalan Penolong Pegawai Imigresen, Yusrazif Yusoh itu.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, kewujudan ramai pekerja warga asing di tempat hiburan terbuka itu mendatangkan curiga yang membawa kepada operasi berkenaan.

“Kita berjaya menahan sembilan lelaki warga Myanmar yang didapati melakukan kesalahan berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah.

"Manakala, seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana melanggar syarat pas yang diberikan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki melindungi Pati terbabit.

“Pati warga Myanmar dan lelaki tempatan itu ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan2002).

“Manakala lelaki Pakistan akan diambil tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sumber: Sinar Harian