FATIN FARHANA JAPRE tidak mahu remaja yang berbadan besar atau obesiti berasa malu dengan fizikal mereka bahkan sentiasa berkeyakinan tinggi berhadapan dengan orang lain.
Umumnya, remaja obesiti sering dikaitkan dengan masalah pemakanan, tidak bergiat aktif dalam sukan dan masa mereka banyak dihabiskan dengan menonton televisyen. Bahkan remaja berbadan besar juga dianggap tidak mampu melakukan perkara hebat dalam hidup mereka menyebabkan kurangnya keyakinan diri.
Ternyata kini persepsi atau tanggapan umum terhadap mereka yang berbadan besar berubah sama sekali kerana terbukti bahawa bentuk fizikal tidak menjadi kayu pengukur untuk diterima dan berhadapan dengan orang ramai. Ramai yang berbadan besar mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang seperti menjadi pengacara program dan sebagainya.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual sekumpulan belia di D’Apple Dance Studio milik Nas Adila Mohd Dan yang tidak malu atau gentar berhadapan dengan lontaran kata-kata negatif umum meskipun mereka berbadan besar.
Persepsi orang ramai mengatakan orang berbadan besar tidak sihat dan malas ternyata tidak benar kerana terdapat segelintir remaja obesiti yang masih menitikberatkan kesihatan diri mereka dengan bersenam dan menjaga pemakanan.
Menurut Mardiani Mohd Ali, 28, walaupun berbadan besar, dia perlu menjaga kesihatan diri bagi mengelak penyakit berbahaya dan kekal sihat.
“Saya seorang wanita yang berkerjaya dan memang sangat sibuk dengan kerja sehinggakan tiada masa untuk membuat aktiviti lain. Ini memang punca faktor berat badan saya semakin naik. Rakan ada menegur badan saya semakin besar dan kebetulan kakak ipar menyarankan saya menyertai kelas senaman D’Apple Dance Studio, Batu Caves.
“Saya mengejar masa untuk ke kelas senaman pada hari pertama setelah pulang bekerja. Setibanya saya di sini, saya sangat teruja untuk bersenam kerana bukan saya seorang yang berbadan besar menyertai kelas ini. Pandangan orang luar, orang gemuk malas bersenam tetapi sebenarnya salah tanggapan mereka. Mereka sepatutnya memberi semangat dan kata-kata positif untuk kami yang ‘chubby’ ini.
“Saya tidak malu menjadi ‘chubby’ bahkan sangat bangga dengan diri saya sendiri. Kita yang berbadan besar ini kena buktikan pada orang ramai yang orang berbadan besar juga mampu bersenam dan mementingkan kesihatan diri. Memang betul apabila berat badan berlebihan kita akan menjadi malas untuk bergerak tetapi tidak semua orang gemuk malas.
“Selama tiga bulan saya menyertai kelas bersenam ini, bukan saja berat badan turun, bahkan saya berasa cergas setiap kali bangun pagi dan bekerja. Dulu berat badan saya 85 kilogram tetapi sekarang 79 kilogram. Saya cadangkan orang yang ‘chubby’ datang menyertai kami dan tidak perlu malu dengan kata-kata orang kerana kita perlu ingat tanpa usaha tidak akan berjaya sampai bila-bila,” katanya.
Lain pula bagi Nas Adzlina Mohd Dan, 27. Dia pernah dikutuk rakan kerana berbadan besar, namun dia langsung tidak patah semangat dan berkecil hati.
“Sudah tiga tahun saya menyertai kelas senaman ini, memang seronok! Dulu berat saya 95 kilogram, selepas banyak kali sertai kelas, berat badan saya sekarang 72 kilogram. Saya langsung tak malu berbadan besar sebab sekarang banyak inisiatif untuk turunkan berat badan.
“Mulanya saya sertai kelas senaman hanya sekadar untuk kekalkan kesihatan diri, namun pada masa yang sama berat badan juga semakin menurun. Ini membuktikan bahawa tidak semua orang berbadan besar tidak boleh berjaya setiap kali melakukan sesuatu perkara.
“Apabila kita berbadan besar, kita perlukan banyak stamina dan berkeyakinan tinggi. Saya ingat lagi saya pernah ditegur rakan kerana berbadan besar tetapi saya tidak berputus asa, lebih-lebih lagi setelah menyertai kelas senaman dan zumba D’Apple Dance Studio,” katanya.
Remaja berbadan besar kebanyakannya malu untuk berfesyen, berkomunikasi atau menonjolkan diri mereka dengan orang ramai. Mungkin anda boleh mengambil inisiatif menyertai kelas senaman untuk meningkatkan keyakinan diri dan mendapatkan cara pemakanan dan senaman daripada tenaga pengajar di sana.
Menurut tenaga pengajar D’Apple Dance Studio, Suhaili Yati Jamri, 42, atau lebih dikenali sebagai Chully, dia akan menasihatkan mereka kerap datang ke kelas senaman dan sentiasa menjaga pemakanan.
“Untuk memastikan mereka tidak malu dan yakin untuk menurunkan berat badan, saya akan memberi nasihat dari segi senaman dan cara pemakanan yang betul.
"Jika hanya bersenam tetapi tidak menjaga pemakanan, tiada gunanya kerana 30 peratus senaman, 70 peratus lagi bergantung kepada cara pemakanan. Sebab itu saya selalu buat senaman ‘aerodance’ supaya mereka ‘enjoy’ datang ke kelas senaman saya,” katanya.
Sumber: myMetro