ALOR SETAR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta
kerajaan mempertimbang untuk menaikkan kadar gaji minimum para pekerja di negara ini daripada RM900 dan RM800 kepada
RM1,200.
Setiausaha Agungnya, N.Gopal Kishnam berkata, kenaikan gaji minimum
itu perlu diambil kira berkuat kuasa dari 1 Januari tahun ini tanpa mengira
sama ada ia melibatkan pekerja tempatan atau pekerja asing di Malaysia.
"Majikan juga perlu mengambil kira pembayaran gaji minimum RM1,200
itu daripada awal tahun," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Gopal Kishnam berkata, MTUC membuat permintaan itu memandangkan kewajaran Akta
Majlis Perundingan Gaji Negara yang menetapkan perintah gaji minimum perlu
dikaji pada setiap dua tahun sekali.
Katanya, akta itu turut menjelaskan bahawa kadar gaji minimum boleh juga
dikaji semula dengan lebih cepat berdasarkan realiti sosio-ekonomi
semasa di negara ini.
"Kadar gaji minimum bagaimanapun belum dinaikkan walau kos sara hidup
meningkat berikutan pemansuhan subsidi dan pengenalan cukai barang dan
perkhidmatan (GST)," katanya. -Kedahnews.com