Gaji Pembantu Rumah Indonesia: Naikkan Gaji Minimum Rakyat Dulu!

KUALA TERENGGANU – Naikkan kadar gaji minimum kepada RM1,200 bagi membantu rakyat menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat dahulu sebelum menimbang keperluan menaikkan gaji pembantu rumah Indonesia, gesa Pertubuhan Pri­­bumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata kerajaan perlu mendahulukan rakyat yang kini dibebani dengan peningkatan kos kehidupan termasuk kenaikan harga barang dan pelaksanaan Cukai Barang dan Per­khidmatan (GST).

“Kalau nak menimbang keperluan dengan menaikkan gaji minimum pembantu rumah orang asing sampai RM1,200, gaji minimum rakyat Malaysia juga kena bermula dengan RM1,200.

“Indonesia cadang naikkan gaji amahnya daripada RM800 kepada RM1,200, tak semestinya kita kena terima … bagilah rakyat Malaysia ‘happy’ (gembira) dahulu sebelum kita ‘happykan’ (gembirakan) orang luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Taklimat Pelan Tindakan Pemerkasaan Organisasi Perkasa dan Pelan Strategik Perjuangan Perkasa Peringkat Zon Timur (Terengganu dan Kelantan) di Chendering, dekat sini.

Ibrahim mengulas langkah Indonesia menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk penambahbaikan syarat kerja pembantu rumah dari negara itu di Malaysia, termasuk menaikkan gaji kepada RM1,200.

Menurutnya ia selaras dengan saranan Perkasa yang sebelum ini pernah menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,200. – BERNAMA