GAMBAR: Penerbangan Rasmi Pertama Pesawat ACJ 320 Bawa Yang DiPertuan Agong


ALOR SETAR - Pesawat Eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ 320) yang baru sahaja diperoleh kerajaan dilaporkan telah melakukan penerbangan rasmi pertamanya dengan membawa Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Pulau Langkawi pada jam 10 pagi hari ini.

Memetik sumber dari Jabatan Perdana Menteri, penerbangan pesawat terbaru yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar itu turut disertai Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun.

Perolehan pesawat ACJ 320 itu bagi menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang berusia 16 tahun dan kini dalam proses pelupusan.

Keputusan bagi menggantikan BBJ dibuat pada tahun 2013 memandangkan kos penyelanggaraannya semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan.

Pesawat ACJ 320 tiba di Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu setelah berlepas dari Hamburg, Jerman dan berhenti di Almaty, Kazakhstan selama sejam bagi mengisi bahan bakar.

Pesawat terbabit membawa sembilan anak kapal dan dua pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan bagi memastikan pesawat yang diterima berada dalam keadaan yang baik dan menepati spesifikasi perjanjian pembelian.

Laluan Hamburg – Almaty – Subang dicadangkan sebagai laluan berdasarkan keadaan cuaca pada masa itu.

Penerbangan itu juga menggunakan ruang udara China berdasarkan keadaan angin dan ketinggian awam, berbanding ruang udara Afghanistan.

Selain ACJ 320, tiga lagi pesawat Eksekutif Kerajaan ialah ACJ 319 yang diperolehi pada 2007, manakala dua lagi calon pesawat bersaiz lebih kecil iaitu Falcon pada 1989 dan Global Express pada 2001.

Pesawat khas kerajaan diperuntukkan untuk kegunaan Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, pesawat berkenaan juga boleh diluluskan untuk kegunaan Sultan-sultan, Yang Dipertua – Yang Dipertua Negeri, Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan menteri, tetamu-tetamu kerajaan Persekutuan dari negara asing, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang-orang kenamaan. -Kedahnews.com