GAMBAR Rohingya: Ada "Keyboard Warrior" Yang Kantoi Menipu?

Sejak "viral" kembali isu nasib etnik Rohingya di laman-laman sosial, maka ramailah "keyboard-keyboard warrior" yang muncul cuba menonjol diri seolah menjadi "hero" dalam perkara yang menyentuh soal kemanusiaan itu.

Tidak cukup dengan dakwaan, mereka sertakan sekali dengan gambar-gambar kesengsaraan etnik Rohingya di Myanmar meskipun mereka sendiri tidak pernah memijak kaki ke negara itu.

Malah ada "bijak pandai" dalam isu ini yang menamakan etnik Rohingya kononnya sebagai sebuah kawasan bernama Rohingya di Myanmar.

Tersenyum sumbing Kedahnews.com yang pernah menjejak kaki ke wilayah Rakhine di bumi Myanmar dalam satu misi sebelum ini dan melihat sendiri tentang apa sebenarnya yang berlaku di negara bergolak itu.

Pun begitu, ada yang tanpa segan silu berkongsikan beberapa keping gambar yang kononnya berlaku di Myanmar memaparkan kekejaman pihak kerajaan junta di sana yang menyiksa etnik Rohingya di sana.

Contoh 1:


Gambar di atas telah dikongsi kepada kami menerusi laman sosial, kononnya menunjukkan kelibat beberapa sami Buddah bersama ribuan mangsa etnik Rohingya yang dibunuh.

Padahal, gambar berkenaan adalah merupakan  gambar sewaktu terjadinya gempa bumi dahsyat sebesar 7.1 skala Richter di wilayah Qinghai, China pada tahun 2010 di mana lebih 2,000 penduduk terbunuh. 

Sami-sami dari Tibet itu pula adalah antara mereka yang terawal berada di lokasi tragedi berkenaan dan memberi bantuan pada mangsa, dan mereka jugalah yang membantu menguruskan mayat-mayat yang bergelimpangan di lokasi bencana itu.

Contoh 2:

Gambar di atas ini pula dikirim kepada kami, kononnya memaparkan "kekejaman" yang dikatakan telah dilakukan terhadap kanak-kanak etnik Rohingya di Myanmar. Zahirnya, foto itu memang kelihatan kejam dan membuatkan ramai yang marah, kesal dengan perbuatan tersebut.

Sedangkan, fakta sebenar mengenai gambar itu adalah tentang sebuah kejadian yang berlaku di Tamil Nadu, India, di mana ia merupakan aksi seni mempertahankan diri yang telah dikritik hebat masyarakat di negara itu.

Lihat bukti di bawah;


Pada pandangan Kedahnews.com, tidak salah kita sekiranya kita menyebarkan imej-imej masyarakat Rohingya yang dizalimi di sana kerana ia merupakan mesej penting bagi memberi kesedaran pada masyarakat di negara kita.

Namun, penyebaran itu perlulah dilakukan secara berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada keluarga, sahabat handai mahupun boss sendiri, kan?

Sekiranya apa yang disebarkan itu tidak benar, bukan saja kita akan mendapat malu yang besar dari keluarga, sahabat-sahabat dan boss kita, malah kreadibiliti kita turut akan dipandang rendah serta tidak lagi boleh diyakini sepenuhnya.

Lagipun, dari sudut Islam, kami yakin ramai umat Islam faham, tahu dan sedar tentang hukum-hakam menyebarkan perkara tidak benar, tohmahan, fitnah dan syubhah, bukan? Jadi, berhati-hatilah dalam bermedia sosial.. -Kedahnews.com