Harmurni menunjukkan laporan yang dibuat di IPD Kulim pada Isnin lalu. |
KULIM - Seorang peniaga berputih mata apabila kereta yang ditinggalkan
tanpa dimatikan enjin di hadapan sebuah kedai borong pasar pagi dekat
Taman Kenari lesap dilarikan pencuri, jam 6 pagi Isnin lalu.
Harmurni Shaari, 40, berkata, setiap pagi dia akan ke pasar borong
Taman Kenari membeli ikan, sayur dan pelbagai jenis kuih untuk berniaga.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan pada hari tersebut dia keluar dari
rumah agak lewat dan terpaksa singgah ke sebuah kedai borong di pasar
tersebut, dia meletakkan kereta tanpa mematikan enjin kerana mahu cepat.
“Saya parkir kereta sederet dengan kereta lain di hadapan tangga masuk
ke kedai borong tersebut dan tidak mematikan enjin kerana mahu membuat
pembayaran yang hanya mengambil masa sekejap sahaja.
“Saya juga boleh nampak kereta itu, namun tidak sampai dua minit
berurusan, seorang pekerja kedai memberitahu kereta saya dibawa pergi
oleh seorang lelaki,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, hutang kereta yang digunakan untuk berniaga sejak empat tahun lalu itu juga baru sahaja habis dibayar.
“Saya baru habis bayar hutang kereta tersebut dua bulan lepas dan
menukar rim serta tayar baru. Tak sangka hanya beberapa minit
tinggalkan, kereta itu lesap,” katanya yang membuat laporan di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Katanya, barang niaga yang dibelinya berjumlah RM500 juga dilarikan. -Sinar Harian