Geisha Lambang Budaya Jepun, Sering Disalah Anggap Sebagai Pelacur

Wanita pelayan di Jepun atau lebih dikenali sebagai Geisha sudah menjadi sebahagian daripada budaya negara matahari terbit itu sejak 400 tahun dahulu.

Walaupun diasak dengan arus kemodenan tetapi sebilangan wanita di Jepun masih berjaya mengekalkan tradisi berkenaan.

Geisha sering disalah anggap sebagai pelacur, namun wanita ini sebenarnya menawarkan bakat menghibur bukannya tubuh badan mereka.

Dunia seorang Geisha masih dianggap penuh dengan rahsia dan jarang pelancong asing yang datang ke Jepun berpeluang dapat melihat wanita ini.

Bagaimanapun, seorang jurugambar Sepanyol, Lucas Vallecillos baru-baru ini diberi peluang untuk merakamkan kehidupan golongan ini secara lebih dekat.

Vallecillos mengambil gambar beberapa Geisha sedang memakai kimono pakaian tradisi Jepun.


Wanita itu kemudiannya memakai bedak putih di muka, celak berwarna gelap dan gincu merah menyala di bibir.

Vallecillos juga mengekori wanita ini ke dalam ruangan makan untuk menghiburkan pelanggan yang terdiri daripada golongan atasan dan ahli perniagaan.

Gambar yang dirakam Vallecillos secara tidak langsung memberi peluang kepada orang luar untuk mengintai dunia yang terikat dengan tradisi ini.


Sebelum layak digelar Geisha atau Geiko, wanita perlu masuk ke sekolah latihan yang dikenali sebagai Okiya.

Pelatih akan dikenali sebagai Maiko dan mereka akan dilatih selama beberapa tahun sebelum layak dipanggil Geisha.

Maiko perlu belajar menyanyi, menari dan berlatih berbual dengan lancar serta menyenangkan pelanggan.

Mereka juga mesti belajar bermain alat muzik, menjadi pelayan yang sempurna dan sentiasa berpenampilan menarik serta bermaruah.

Elemen latihan ini mungkin kedengaran mudah tetapi latihan dan kehidupan seorang Geisha jauh lebih sukar.

Bagi Maiko, diiktiraf sebagai Geiko dianggap sebagai satu pencapaian dan penghormatan yang besar.

Pada permulaan latihan di Okiya, Maiko perlu melakukan pelbagai kerja dari pagi sehinggalah ke malam.


Maiko akan berkongsi bilik dengan pelatih yang lain dan juga Geiko.

Mereka turut ditugaskan membantu Geiko bersiap dan memakai pakaian untuk melayan pelanggan.

Maiko mesti sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada Geiko dan melutut di hadapan wanita itu setiap kali mereka pulang ke bilik.

Kerana tidak tahan dengan peraturan yang ketat ramai wanita keluar dari Okiya sebelum menamatkan latihan mereka.

Kebanyakan wanita muda ini berhenti kerana merindui kehidupan selesa di rumah dan terperangkap dengan kehidupan moden.

Ada pelatih yang meninggalkan Okiya selepas mereka tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar dan pelbagai alasan lagi.


Sumber: myMetro