Gempa Bumi Di Nepal: Mayat Lelaki Dipercayai Warga Malaysia Ditemui

DJ Raj Anthony yang mengembara bersendirian di Nepal dipercayai hilang sejak gempa bumi berlaku.
ALOR SETART - Mayat seorang lelaki dipercayai warga Malaysia yang hilang ekoran gempa bumi di Nepal dilaporkan telah ditemui baru-baru ini.

Mangsa yang dikenali sebagai DJ Raj Anthony, 38 tahun dikatakan telah melancong bersendirian ke negara yang ditimpa bencana besar itu dalam misi menakluk pergunungan di Himalaya sejak 21 hingga 28 April.

Pihak berkuasa mendakwa telah menemui mayat seorang lelaki bersama pasport milik Anthony di Lembah Langtang, iaitu salah sebuah perkampungan yang terjejas teruk di kawasan pergunungan kira-kira 130 kilometer utara Kathmandu.

Ahli keluarga Anthony difahamkan telah pun dimaklumkan perkara berkenaan pada petang semalam dan abangnya dijadualkan tiba di Kathmandu pada Khamis bagi pengecaman mayat berkenaan.

“Saya mengesahkan bahawa terdapat satu mayat dari Langtang yang diterbangkan ke Kathmandu. Mayat itu dipercayai warga Malaysia, Raj Anthony,” kata seorang pegawai polis Nepal.

Media turut melaporkan bahawa pegawai kedutaan Malaysia di Kathmandu, Fadli Adilah berkata pihaknya akan membantu keluarga berkenaan dalam usaha membawa pulang mayat ke tanah air.

Mendiang yang sedang bercuti selama enam bulan telah mengunjungi India sebelum memutuskan untuk ke Nepal untuk mendaki di Himalaya. - Kedahnews.com