"Geng Piloy" Akhirnya Tumpas Di Tangan Polis Kedah

ALOR SETAR - Polis melumpuhkan satu kumpulan curi motosikal dikenali sebagai 'Geng Piloy' yang didalangi seorang lelaki berusia 24 tahun, hasil penahanan lima suspek termasuk individu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, dalang yang dikenali dengan nama samaran 'Piloy' itu ditahan bersama tiga lelaki yang berusia antara 19 hingga 25 tahun dalam satu serbuan di sebuah pondok tinggal di Kuala Kedah, dekat sini pada pukul 2.30 pagi, 10 Mei lepas.

Keempat-empat suspek itu katanya ditahan di dalam pondok yang sama manakala seorang lagi suspek yang berumur 36 tahun ditahan di sekitar kawasan Kuala Kedah dan kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu ketika diberkas, katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Hasil serbuan menurutnya, polis merampas sebuah komputer riba, dua rangka dan enjin motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5, serta sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang kesemuanya dilaporkan hilang di Alor Setar, Kuala Kedah dan Alor Janggus.

Menurut beliau, dalang kumpulan itu baharu sahaja dibebaskan dari penjara enam bulan lepas serta mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan pecah rumah, manakala seorang lagi suspek mempunyai enam rekod lampau.

Beliau berkata, kesemua suspek  kumpulan berkenaan yang mula bergerak aktif sejak Februari tahun ini, ditahan reman dari tarikh tangkapan (10 Mei) hingga esok.

Dalam kes berasingan, polis katanya, telah menahan lima lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30-an yang terlibat dalam kejadian samun di sebuah pusat hiburan di sebuah hotel di Alor Setar, 13 Mei lepas.

"Kesemua suspek telah menyamun di sebuah pusat hiburan di Alor Setar pada pukul 2.30 petang dan hasil maklumat kita telah berjaya menahan suspek di sebuah hotel pada pukul 3 petang dan kita percaya mereka ini bukan kali pertama mereka menyamun.

"Kita telah merampas sebuah kereta jenis Proton Satria Neo berwarna kuning, dua bilah parang dan sebilah golok yang dipercayai digunakan semasa menjalankan kegiatan samun. Kesemua suspek itu ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 samun berkumpulan dan bersenjata," katanya. - Bernama