Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail |
ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah
pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah untuk mengukuhkan
kewangan negara demi manfaat jangka panjang rakyat.
Menurut baginda, GST yang dikutip digunakan untuk mengukuhkan
keselamatan negara, memantapkan pembangunan fizikal dan infrastruktur
yang akan memakmurkan pembangunan sosial dan kebajikan rakyat.
“Beta mengambil maklum dan mendengar rungutan pelbagai pihak
berhubung kenaikan harga barangan akibat pelaksanaan GST namun beta
yakin segala keluhan ditangani sewajarnya oleh kerajaan.
“Kemakmuran tidak bermakna apabila masih ada rakyat hidup dalam
kesusahan,” titah Tuanku Syed Sirajuddin pada Istiadat Penganugerahan
Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri sempena keputeraan baginda ke-72 di
Balairung Seri Istana Arau di sini, hari ini.
Pada istiadat itu baginda berkenan menganugerahkan darjah kepada 35
orang penerima manakala baki 276 lagi akan menerima anugerah
masing-masing dalam istiadat selepas ini.
Berangkat sama pada istiadat itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah
Tengku Abdul Rashid, Raja Muda dan Raja Puan Muda Tuanku Syed Faizuddin
Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta
kerabat diraja Perlis.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan anggota Exco kerajaan negeri turut hadir.
Tuanku Syed Sirajuddin berharap kerajaan negeri bergandingan dengan
rakyat melipatgandakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi mencegah
peniaga mengambil kesempatan menggunakan alasan GST untuk menaikkan
harga yang membebankan rakyat.
Baginda turut mengingatkan rakyat agar mengekalkan kemakmuran dan
perpaduan umpama ‘tiang seri’ yang memastikan keteguhan sesebuah negeri.
“Kota Rom yang hebat tidak dibina dalam masa sehari…bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh. Realiti untuk menjadi negeri maju adalah
melalui kerjasama dan usaha semua pihak.
Justeru, limpahan hasil yang tinggi dari sumber terhad hendaklah
diurus secara berhemat dan berhemah supaya rakyat mendapat faedah. Usaha
ini menuntut sikap amanah yang tinggi dan budaya pentadbiran yang boleh
dipercayai dan dihormati,” titah baginda. – BERNAMA