GST: Gugur Dakwaan Terhadap Restoran Bendang

SHAH ALAM – Syarikat Bendang Afwa Enterprise, yang mengendalikan sebuah restoran di Setia Alam dekat sini, dilepas dan dibebas daripada tuduhan mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 selepas pihak pendakwaan menggugurkan dakwaan terhadapnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Azhari Abdul Hamid memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Hazril Harun memaklumkan pihaknya menarik balik saman terhadap syarikat itu yang memiliki Restoran Bendang.

“Pihak kami mendapat arahan untuk menggugurkan saman dan justeru itu, pertuduhan untuk kes Bendang ditarik balik,” katanya.

Berikutan keputusan pendakwaan itu, peguam Collin Arvind Andrew yang mewakili syarikat itu, memohon mahkamah supaya melepaskan dan membebaskan anak guamnya daripada pertuduhan.

Pemilik syarikat itu, Farah Jamiah Fikri, 35, hadir di mahkamah dengan ditemani suaminya yang juga pensyarah.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berakhir, Collin berkata pihaknya tidak dimaklumkan alasan penarikan saman itu.

“Anak guam saya sepatutnya didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 33 (2) (b) Akta GST 2014. Tuduhan ialah tidak mematuhi Seksyen 22 Peraturan-Peraturan GST 2014 iaitu tidak memaparkan butiran yang ditetapkan berkenaan cukai invois berjumlah RM21,” katanya.

Sebelum ini, pihak Kastam Diraja Malaysia gagal mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suami Farah Jamiah.

Pensyarah berusia 34 tahun itu ditahan di restoran berkenaan pada 14 April lepas dan merupakan individu pertama di Selangor disiasat bagi kesalahan berkaitan GST.

Pada 30 April lepas, Restoran Hameeds Corner di Seksyen 16 di sini menjadi yang pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta GST sejak cukai baharu itu dilaksanakan 1 April lepas.

Pemilik restoran itu, Raja Bunesh Bagam Kamarudeen, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan mengeluarkan kira-kira 2,000 keping invois cukai yang tidak mengandungi butiran ditetapkan mengikut Seksyen 22 Peraturan-Peraturan GST 2014. – BERNAMA