Persatuan Pengguna Islam Malaysia menyokong kenyataan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyebut peniaga hari ini
mengeksploitasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hingga menyebabkan
rakyat terbeban.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, peniaga seperti
ini perlu ‘diajar’ dengan membawa ke muka pengadilan untuk tindakan
undang-undang.
"Saya setuju dengan kenyataan Perdana Menteri. Peniaga hari ini tamak
dan ambil kesempatan. Inilah yang orang kata, orang lain makan nangka,
orang lain yang kena getahnya.
"Tapi kerajaan ada penguat kuasa dan saya harap semua pihak bekerjasama
dengan KPDNKK untuk membawa peniaga yang tamak haloba ini ke muka
pengadilan.
"Saya percaya bahawa jika semua pihak faham bahawa GST ini
satu tanggungjawab kita, kita akan bantu untuk memberi pembangunan untuk
jangka masa panjang," katanya kepada Sinar Online.
Semalam, Najib dalam ucapannya menyifatkan peniaga jahat dan mahu
‘titik’ orang ramai serta tidak bertanggungjawab namun kerajaan yang
disalahkan.
Dalam pada itu, Dr Ma'amor berpendapat, kerajaan sepatutnya mempunyai
senarai harga barangan sebelum pelaksanaan GST untuk perbandingan serta
penetapan harga yang wajar untuk setiap barangan.
“Sepatutnya, kerajaan mempunyai ‘database’ senarai harga barangan
sebelum implementasi GST. Kalau kita tahu harga contohnya roti canai
RM1.80 sebelum ini, selepas ditolak SST (Cukai jualan dan perkhidmatan),
mungkin tinggal RM1.60.
“Jadi, selepas GST tambah 6% mungkin RM1.70. Lebih rendah lagi
harganya. Tapi sekarang dah jadi RM2.50. Saya rasa kerajaan tidak
bersedia dengan datasbase sebelum ini. Database ini penting untuk
pengguna rujuk dan peniaga tak berani ambil kesempatan,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan agar pengguna bijak memilih dan
mengambil langkah berjimat cermat dengan membawa bekal dari rumah.
“Pengguna kena bijak memilih. Ataupun jika boleh bawalah bekal ke
tempat kerja. Air pun boleh beli paket minuman segera yang banyak di
pasaran.
“Sekali skala minum luar boleh tapi kalau selalu, bawalah bekal,” katanya.
Sumber: Sinar Harian