Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng |
ALOR SETAR – Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan pihaknya telah menulis surat
kepada Kerajaan Persekutuan meminta supaya perkhidmatan kerajaan negeri
itu dikecualikan dari dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa, kerajaan negeri pimpinan DAP itu membuat
permohonan pengecualian tersebut memandangkan Sultan Johor, Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar sendiri bertitah bahawa GST ke atas perkhidmatan
kerajaan negeri tidak masuk akal.
“Sultan Johor mengarahkan kerajaan Johor mendapatkan pengecualian GST
untuk perkhidmatan mereka kepada orang ramai. Kerajaan Pulau Pinang pun
telah menulis surat meminta pengecualian membayar GST.
“Adalah mengarut kerajaan negeri yang membina jalan raya, perparitan
dan bangunan untuk faedah orang ramai perlu membayar GST,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan memperguna nama Sultan Johor yang pernah dihina aktivitis pro-Pakatan Rakyat sebelum ini.
Sementara itu, Guan Eng turut mengulas mengenai kemerosotan mendadak undi calon PKR di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh berdasarkan peratusan keluar mengundi dan pola undian untuk calon Barisan Nasional, Suhaimi Sabudin, yang tidak banyak berubah berbanding PRU ke-13 lalu.
Setiausaha Agung DAP itu mendakwa, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
akan memperoleh lebih banyak undi majoriti dalam Pilihan Raya Kecil
(PRK) Permatang Pauh baru-baru ini jika isu 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dan Tabung Haji dibangkitkan lebih awal.
Katanya, Wan Azizah mampu
mendapat dua kali ganda undi majoriti sebanyak 8,841 yang diperoleh
kerana isu 1MDB dan Tabung Haji membangkitkan kemarahan umat Islam. -Kedahnews.com