Guru Kembar Terima Anugerah Khidmat Cemerlang

Heiana Nadia Hamzah (kiri) dan Heiada Nadia Hamzah menunjukkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 Kementerian Pendidikan Malaysia yang diterima oleh mereka ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat PPD Seberang Perai Tengah di sini hari ini. - Foto BERNAMA
BUKIT MERTAJAM – Pasangan kembar yang bertugas sebagai guru antara penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) 2014 Kementerian Pendidikan peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah.

Heiada Nadia Hamzah dan Heiana Nadia Hamzah, 29, tidak menyangka bahawa mereka menerima anugerah itu serentak walaupun mengajar di sekolah berbeza.

Heiana Nadia yang mengajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Jit Sin, di sini berasa bertuah kerana pihak pentadbiran sekolah menghargai usaha dan sumbangannya.

“Pengalaman bertugas di sekolah Cina ini sangat seronok. Saya tidak mempunyai masalah sepanjang bertugas di sini. Pentadbiran di sini saya lihat lebih sistematik,” katanya kepada pemberita selepas majlis APC di sini semalam.

Sejumlah 429 warga pendidik dan staf sokongan dari Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah menerima anugerah masing-masing yang disampaikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Datuk Osman Hussain.

Heiada Nadia yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Perda, di sini berkata mereka sangat bertuah kerana menerima anugerah pada masa yang sama.

Beliau berkata sejak kecil mereka berkongsi minat dan cita-cita yang sama selain kedua-duanya pernah bertugas di Sandakan, Sabah.

“Kami memang selalu bersama. Masa zaman belajar dahulu pun kami menuntut di universiti yang sama, Universiti Sains Malaysia. First posting kami pun sama di Sandakan, Sabah. Kami bertukar ke Pulau Pinang pun bersama. Tak sangka saya dan Heiana menerima anugerah ini serentak,” katanya.

Heiada Nadia dan Heiana Nadia yang mengajar mata pelajaran Sains sudah lima tahun berkhidmat dalam bidang perguruan.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata cabaran guru pada masa kini adalah mendidik anak-anak daripada generasi Z yang terdedah dengan dunia tanpa sempadan.

“Kaedah mendapatkan ilmu sekarang berbeza berbanding dahulu. Saya khuatir bagaimana pengaruh media memberi kesan kepada anak-anak generasi Z. Pengaruh media sosial cukup bahaya jika tiada pengawalan. Yang penting bagaimana pendekatan kita dalam menangani masalah ini,” katanya. – BERNAMA