Hari Guru Peringkat Kebangsaan Meriah Di Dewan Wawasan Jitra

Sebahagian daripada guru-guru dari seluruh Malaysia yang hadir membacakan ikrar pada Majlis Perasmian Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 di Dewan Wawasan, Jitra semalam. - Foto BERNAMA
JITRA – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-44 yang diadakan di Dewan Wawasan Jitra di sini hari ini berlangsung penuh meriah dengan kehadiran lebih 3,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Bertemakan ‘Guru Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak’, sambutan yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, sajak dan tarian daripada pelajar dan guru sekolah.

Bersempena dengan sambutan hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Datuk Dr Haili Dolhan diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan manakala bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghaffar Mahmud dianugerahkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.

Kedua-dua anugerah tinggi sektor pendidikan negara itu telah disampaikan Timbalan Perdana Menteri pada majlis sambutan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Turut hadir pada sambutan hari ini ialah Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kalamanathan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Di TERENGGANU, lebih 200,000 pelajar dan guru dari 499 sekolah seluruh negeri menyertai gotong-royong bersempena sambutan hari guru semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Shafruddin Ali Hussin berkata gotong-royong membersihkan kawasan sekolah berkenaan turut diadakan sempena Gotong Royong Perdana Terengganu Terbersih yang dianjurkan Kerajaan Terengganu.

“Alhamdulillah, sempena hari guru ini semua warga sekolah termasuk ibu bapa pelajar menerusi pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama-sama menyertai gotong-royong ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, sambutan Hari Guru peringkat negeri akan diadakan pada Selasa ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, manakala sambutan di peringkat sekolah diadakan pada Isnin.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menekankan tentang kepentingan pendidikan untuk rohani dan diberi pemantauan bagi melahirkan pelajar yang berakhlak mulia.

Katanya, peranan guru pada masa kini bukan hanya menyediakan pendidikan tetapi mesti memastikan roh Islam itu hidup di dalam jiwa para pelajar ke arah membentuk generasi yang bukan hanya sekadar Muslim tetapi mukmin.

“Apabila sudah mencapai tahap mukmin dengan sendiri kita boleh melahirkan pelajar yang Muttaqin dan Muslihin iaitu yang bertaqwa dan menjadi ejen perubahan serta penegak kebenaran dalam masyarakat.

“Kalau kita lihat dalam masyarakat pada hari ini, masalah dan gejala mungkar yang berlaku bukanlah kerana masyarakat tidak berkelulusan tinggi atau tidak tahu, tetapi kerana masyarakat tidak dibekalkan dengan ‘tarbiyah ruhiyyah’ (pendidikan rohani) yang sempurna yang menyebabkan hilang ketakutan kepada ancaman neraka,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Guru di sini, hari ini.

Di SELANGOR, sambutan Hari Guru peringkat negeri untuk menghargai jasa warga guru akan diadakan pada 28 Mei depan di Dewan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bahru dan dijangka dihadiri guru-guru seluruh negeri, kata Pengarah Pelajaran Negeri Zainureen Mohd Noor.

Sementara itu Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengambil peluang untuk menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan para guru yang amat ternilai terutama dalam melahirkan sumber manusia yang berkualiti dan berketerampilan mulia.

“Saya berharap agar para guru dapat bekerjasama dan berganding bahu dalam memperkayakan modal insan negeri ini sejajar dengan cita-cita Selangor untuk menjadi sebuah negeri yang maju dan bersifat global dari segi pencapaian,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Guru.

Di PERLIS, sambutan hari guru peringkat negeri akan diadakan serentak di semua sekolah di negeri ini pada Selasa depan di mana setiap sekolah akan mengadakan sambutan mengikut cara masing-masing.

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri, Yusuff Man pada hari itu nanti, semua Pengetua dan Guru Besar akan membacakan perutusan Menteri Pendidikan.

Terdapat 104 buah sekolah, 30 menengah dan 74 rendah termasuk 10 sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil di negeri utara tanah air itu. – BERNAMA