KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan
meningkatkan hasil cukai kerajaan kepada RM31.4 bilion setahun dalam
tempoh lima tahun akan datang berbanding RM15.5 bilion yang dikutip
melalui cukai jualan dan perkhidmatan sebelum ini.
Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dalam Dokumen
Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK11) bagi tempoh (2016-2020) berkata
pendapatan tambahan itu akan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan dalam
tempoh tersebut.
Katanya GST yang dilaksanakan pada 1 April lepas, akan meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan sistem cukai sedia ada.
“Kerajaan komited ke arah mencapai sasaran konsolidasi fiskal bagi
bajet berimbang pada tahun 2020 dengan meneruskan dan memperluas
perubahan yang telah dimulakan dalam tempoh RMK10.
“Strategi utama untuk meningkatkan fleksibiliti dasar fiskal dalam
tempoh RMK11 adalah dengan memperkukuh kecekapan pungutan hasil dan
melaksanakan perbelanjaan Kerajaan yang lebih berdisiplin dan berhemat,”
katanya. – BERNAMA