KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Hasan
Arifin masing-masing mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen
Permatang Pauh dan Rompin yang baharu pada Mesyuarat Kedua Penggal
Ketiga Parlimen ke-13 yang bermula hari ini.
Upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri
Pandikar Amin Mulia dan anggota Parlimen yang lain sebaik persidangan
dewan bermula.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali
ke Dewan Rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang
Pauh dengan majoriti 8,841 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN)
Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.
Beliau mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini disandang Penasihat
PKR yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang hilang kelayakan
selepas didapati bersalah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara
kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan
tujuh tahun lepas.
Sementara Hasan mempertahankan kedudukan BN di Rompin apabila
menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi. Nazri Ahmad
memperoleh 14,901 undi.
Sesi pada pagi ini turut menyaksikan Dr Wan Azizah secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Pandikar mengumumkan perkara itu selepas Dr Wan Azizah mengangkat
sumpah sebagai anggota Parlimen, mengikut Peraturan Mesyuarat 4a(3).
“Mengikut maklum balas yang saya diterima dan saya berpuas hati
dengan maklum balas bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah telah sebulat suara
mendapat sokongan anggota Parlimen pembangkang untuk dilantik sebagai
ketua pembangkang.
“Anggota Parlimen Permatang Pauh selamat kembali ke Parlimen dan
selamat bertugas kembali sebagai ketua pembangkang,” kata Pandikar.
Dr Wan Azizah yang memenangi kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya
umum ke-12, telah mendapat sokongan Pakatan Rakyat (PR) untuk memimpin
pembangkang dalam Dewan Rakyat dari Mac hingga Julai 2008. – BERNAMA