Hiburan Itu Indah Dalam Islam...

BARU-BARU ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan Garis Panduan Hiburan dalam Islam (Edisi kedua) 2014 yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-107 yang bersidang pada 10-11 Februari lalu.

Garis panduan yang menarik perhatian banyak pihak ini tidak sepatutnya dilihat sebagai penghalang kepada perkembangan industri kreatif negara. Garis panduan itu bukan bersifat undang-undang sebaliknya penambahbaikan peraturan sedia ada sebagai rujukan kepada pihak berkuasa, penganjur, penerbit dan individu terlibat dalam industri hiburan.

Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah SWT bersesuaian dan menepati fitrah manusia. Manusia memerlukan hiburan, maka Islam membenarkan manusia berhibur. Namun Islam memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan didengar itu, betul-be­tul mendatangkan manfaat kepada kehidupan. 

Majoriti ulama besar seperti Shafie, Maliki dan Qurtubi berpendapat bahawa nyanyian yang biasa dinyanyikan dalam kehidupan harian seperti nyanyian untuk me­ringankan angkat barang yang berat, meringankan perjalanan musafir, mempercepatkan perjalanan ke medan perang, menenangkan anak menangis, adalah dibenarkan.

Begitu juga dibolehkan mencipta syair yang menggalakkan mencintai akhirat, bencikan keburukan dunia, nyanyian di majlis perkahwinan dan menggalakkan ketaatan kepada Allah SWT serta berakhlak mulia. 

Jika perhatikan dalam memahami nas daripada al-Quran dan hadis tentang nyanyian menunjukkan pada dasarnya nyanyian itu tidak haram, tetapi hukumnya berubah menjadi haram disebabkan mengandungi seni kata lucah, memuja dan memuji perkara haram, persembahan tidak menutup aurat dan pergerakan menaikkan nafsu selain dihidangkan minuman keras, persembahan yang melekakan di sepanjang malam dan sebagainya.

Sheikh Mahmud Shaltut dalam kitab al-Fatawa berpendapat, mendengar suara indah dan merdu daripada binatang, manusia, apa-apa alat atau kecenderungan mempelajari sesuatu daripadanya merupakan keinginan memenuhi tuntutan naluri. Selama perkara itu tidak melalaikan daripada kewajipan agama, bersesuaian de­ngan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka perkara itu diharuskan. 

Sekiranya nyanyian dan muzik itu bersih daripada unsur-unsur haram, maka haruslah mendengarnya. Oleh itu, mendengar nyanyian dan muzik yang bercampur dengan perkara-perkara haram adalah haram.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, berpendapat mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat. Nyanyian itu haram disebabkan oleh perkara yang mencorakkannya iaitu:

* Penyanyi perempuan haram melihat dan memperdengarkan suaranya kepada lelaki kerana dikhuatiri membawa fitnah. Perkara ini haram disebabkan kebimba­ngan yang membawa kepada fitnah bukannya haram kerana nyanyian.

* Alat muzik yang digunakan dalam nyanyian ialah alat yang menjadi simbol kepada majlis maksiat dan minum arak. Alat-alat muzik sebegini ditegah.

* Seni kata yang digunakan mengandungi celaan, cacian serta membohongi Allah, Rasul-Nya dan para sahabat sebagaimana seni kata yang dilagukan oleh golongan Rafidhah yang mencela para sahabat, begitu juga seni kata yang menggambarkan keindahan perempuan secara khusus di hadapan kaum lelaki serta sebaliknya.

* Tanggapan pendengar terhadap nyanyian yang boleh mendorong kepada nafsu lebih banyak daripada yang lain seperti seorang belia yang masih muda remaja, leka bernafsu berhibur, maka haramlah hukumnya.

* Masyarakat awam yang tidak kuat perhubungannya dengan Allah SWT. Sekiranya banyak masa dihabiskan untuk berhibur, maka boleh membawa kepada kerja-kerja yang tidak berguna dan sia-sia.
Para ulama bersepakat bahawa semua nyanyian yang mengandungi unsur fasik, pelacuran atau mendorong melakukan maksiat adalah haram, manakala nyanyian itu sendiri ialah susunan kata-kata, jika baik kata-katanya, maka baiklah dan jika tidak baik kata-katanya, maka tidak baiklah. Semua kata-kata yang bercanggah dengan adab dan akhlak Islam adalah haram. 


Para ulama juga sepakat mengharuskan nyanyian yang bersih daripada unsur maksiat di tempat-tempat yang memerlukan hiburan dan kemeriahan yang diharuskan seperti majlis perkahwinan, orang yang baharu pulang dari musafir, hari-hari raya dan kebesaran Islam.

Seni suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah merupakan keperluan naluri semula jadi atau fitrah manusia yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Menggunakan seni suara untuk tujuan mulia, secara sederhana dan tidak keterlaluan adalah dibolehkan. 

Sesungguhnya seni suara dalam Islam adalah seni yang bermatlamat untuk pengabdian dan kebaktian kepada Allah SWT. Oleh itu, bagi membolehkan perkembangan seni suara dengan sihat dan harmoni maka kita memerlukan beberapa petunjuk dan garis panduan untuk itu.

Islam tidak melarang kita berhibur tetapi ada batas-batasnya. Pihak yang berkenaan seharusnya memandang dari sudut positif dan jangan hanya berfikir untuk mengaut keuntungan serta kepentingan sendiri sahaja. Islam merupakan agama yang menyeluruh dan memenuhi keperluan hidup manusia di dunia dan akhirat. Aspek rohani dan fizikal yang terkandung dalam ajaran Islam menepati keperluan kehidupan umat sejagat.

Ajarannya tidak hanya menumpukan ibadat khusus semata-mata, malah merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan keinginan manusia. Kekeliruan berlaku apabila umat Islam terkeliru dalam menentukan hiburan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan mengikut syarak. Aspek ini perlu diperjelaskan dan diperhalusi bersama agar segala bentuk hiburan yang dinikmati benar-benar mengikut ketetapan ajaran Islam.

Hiburan dibenarkan dalam Islam, cuma perkara itu perlulah berlandaskan syariat dan batasan-batasan yang digariskan di dalam Islam. Kelalaian, kealpaan, pembaziran, munafik dan syirik hanya akan mendatangkan keburukan kepada umat manusia. Inilah wasatiyyah nilai kehidupan berlandaskan agama Islam.

*TAN SRI DR. ABDULLAH MD. ZIN ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri/Utusan