Hina Pertabalan Sultan Nazrin Shah: Pihak Berkuasa Digesa Bertindak

IPOH – Pergerakan Pemuda Umno Perak menggesa Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun media sosial yang menghina dan mempersenda Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Shah.

Ketuanya Hairul Anwar Mohamed Noor berkata individu itu yang dikenali sebagai Ali Abd Jalil turut menghasut rakyat untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik yang menolak sistem beraja.

“Kenyataan individu berkenaan biadap dan menimbulkan kemarahan… dia sepatutnya menjadi pendokong kepada sistem beraja. Dia juga menghina institusi penguat kuasa iaitu Polis DiRaja Malaysia.

“Hal ini tidak dapat diterima sama sekali kerana institusi diraja merupakan lambang agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh petang tadi.

Turut hadir beberapa wakil kepimpinan MCA, MIC, Parti Gerakan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). 

Hairul Anwar berkata tindakan tegas terhadap individu berkenaan boleh dijadikan pengajaran kepada pihak lain supaya menghormati insitusi diraja dan sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di negara ini. – BERNAMA