Hubungan Seks Menyakitkan Dilarang Islam – Mufti Perlis

KUALA LUMPUR – Meskipun Islam mewajibkan suami dan isteri menunaikan kehendak seks pasangan masing-masing, tetapi hubungan itu mesti berlangsung secara harmoni kerana Islam melarang seks secara kasar dan menyakiti pasangan.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, hubungan seks secara kasar dan menyakitkan antara satu sama lain dilarang dan setiap pasangan perlu mencari kaedah seks terbaik bagi memenuhi naluri keinsanan masing-masing.

“Suami yang enggan melakukan hubungan seks dengan isteri tanpa sebab yang sah melakukan dosa kecuaian tanggungjawab sebagai suami. Demikian juga isteri yang enggan melakukan hubungan seks dengan suaminya tanpa sebab yang boleh diterima maka ia merupakan satu dosa.

“Pun begitu, hubungan seks suami dan isteri hendaklah berlaku dalam keadaan yang harmoni dan tidak menyakiti antara satu sama lain. Ini memenuhi perintah al-Quran: (maksudnya) “Kamu semua bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) secara baik” (Surah al-Nisa: 19),” katanya melalui laman Facebook beliau baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu rogol suami isteri yang dibangkitkan oleh segelintir pihak sejak kebelakangan ini dan bimbang hukum Islam mengenai hubungan rumah tangga disalah faham.

Mohd. Asri berkata, isteri bagaimanapun berhak menghalang suami menyetubuhinya jika suami itu boleh memberikan mudarat seperti pengidap Aids dan penyakit lain yang boleh membahayakan isteri.
Menurutnya, isteri juga boleh menghalang suami menyetubuhinya jika suami gagal menunaikan tanggungjawab sebagai suami seperti tidak memberikan nafkah kepadanya.

Selain itu, katanya, para sarjana ketika berbincang hukum suami mencabut zakar dari faraj isteri sebelum keluar air mani untuk mengelakkan hamil walaupun dibenarkan dalam hadis, namun perlu mendapatkan persepakatan daripada isteri.

“Ia kerana dibimbangi isteri tidak sempat menikmati persetubuhan. Ini menunjukkan persetubuhan secara paksa dan kasar yang satu pihak tidak menikmati sudah tentu dilarang dalam hubungan rumahtangga,” jelasnya. -Kedahnews.com