MACHANG – PAS meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang memohon maaf kerana
mempertikaikan pelaksanaan hudud semasa menyampaikan ceramahnya di
Kelantan, negeri yang melaksanakan undang-undang Islam itu.
Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Nik Zawawi Salleh
berkata, Lim sepatutnya lebih berhati-hati dalam ceramahnya di Padang
Perdana di sini pada 10 Mei lepas, yang dianjurkan PAS Kawasan Kota
Bharu.
Lim sepatutnya menghormati dasar PAS setelah dijemput bercermaah di
Kelantan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan muktamar Dewan
Ulama PAS Kelantan di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini, semalam.
“Beliau tidak sepatutnya bercakap begitu dan (Lim sepatutnya) lebih
berhati-hati,” katanya apabila diminta mengulas mengenai laporan akhbar
berhubung kenyataan Lim itu.
Akhbar melaporkan bahawa dalam ceramah berkenaan, Lim menjadikan dua
negara iaitu Jordan dan Mesir sebagai contoh kerana mempunyai lebih 90
peratus penduduk beragama Islam, namun sehingga kini tidak melaksanakan
undang-undang Islam.
Lim dilaporkan berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai
kaum, beliau mengingatkan semua parti yang berada dalam pakatan
pembangkang supaya berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui
bersama.
Nik Zawawi berkata PAS sentiasa menghormati dasar DAP, dan pada masa
sama berharap DAP menghormati dasar PAS berasaskan persefahaman yang
terbentuk dalam pakatan pembangkang.
Beliau berkata walaupun PAS boleh menyanggah banyak dasar-dasar yang
diperjuangkan DAP, tetapi PAS tidak pernah berbuat demikian semata-mata
kerana menghormati parti itu.
Pada 19 Mac lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan
Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau
hudud selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 ADUN dari Barisan Nasional (BN).
Di KUALA LUMPUR, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong menyelar PAS
kerana menyifatkan ia sebagai parti melampau selepas mencabar
perlembagaan rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan
2015)di Mahkamah Persekutuan.
Mah berkata apa yang amat membimbangkan parti itu ialah jika
pelaksanaan undang-undang hudud tidak mengikut perlembagaan dan
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Gerakan mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Islam sebagai
agama rasmi Persekutuan. Kami hanya mahu mempertikaikan apa yang
dikatakan oleh para pemimpin PAS bahawa kami melampau sebab hujah kami
ialah undang-undang hudud tidak berperlembagaan dan kami mengambil
tindakan undang-undang untuk mendapatkan jawapan kepada kekeliruan
ini,”katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
jawatankuasa pusat parti hari ini.
Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata Gerakan
mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, dan
“kita tidak mampu untuk mempunyai sistem undang-undang yang berbeza di
negara ini. ” – BERNAMA