Husam Musa Minta Maaf

ALOR SETAR - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli dan penyokong parti itu yang meletak harapan tinggi padanya untuk mencabar jawatan Presiden pada pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini.

Husam menjelaskan bahawa beliau hanya berhasrat untuk mempertahan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sahaja pada Jun ini.

"Dengan memohon berbanyak maaf kepada semua kawasan dan ahli yang meletakkan harapan besar itu, saya hanya berhasrat menerima pencalonan  jawatan naib presiden PAS yang saya sandang sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Husam, beliau memahami sedalam-dalamnya kehendak akar umbi parti itu khususnya mengenai hala tuju perjuangan ke arah Islam yang dibawa di dalam parti itu.

"Saya memahami hasrat dan keprihatinan mereka, terutama terhadap hala tuju perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dalam konteks Malaysia bagi dekad-dekad akan datang.

Ekoran penarikan diri Husam itu, bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang kini merupakan satu-satunya calon tunggal yang telah menetapkan pendirian untuk mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar PAS kali ini.

Abdul Hadi sebelum ini mengalu-alukan mana-mana pihak di dalam PAS untuk mencabar jawatan yang disandangnya ekoran dakwaan wujud pihak di dalam parti itu yang dikatakan cuba menjatuhkan beliau dari jawatan Presiden.

DAP sebelum ini telah memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan memberi amaran bahawa Pakatan Rakyat berkemungkinan besar akan hancur sekiranya beliau masih kekal dipilih menjadi Presiden PAS pada Jun ini.

Sementara itu, Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi membayangkan NGO yang diketuainya mungkin akan bertukar menjadi sebuah parti politik selepas muktamar ini dan keputusan tersebut bergantung pada keputusan kepimpinan baru PAS yang bakal dipilih nanti.

Bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pula, Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menyandang jawatan Naib Presiden telah menetapkan pendiriannya untuk mencabar penyandang jawatan itu, Mohamad Sabu. - Kedahnews.com