ALOR SETAR - Seorang wanita mengejutkan ramai pihak apabila dilihat menghayunkan mayat anak kandungnya yang berusia
tiga tahun di buaian taman permainan di Maryland, Amerika Syarikat,
pada Jumaat baru-baru ini.
Menurut jurucakap pihak berkuasa di sana, tiada kesan
kecederaan mahupun trauma pada tubuh kanak-kanak tersebut dan punca
kematiannya masih disiasat sehingga kini.
Sumber turut menjelaskan bahawa siasatan kini sedang menyingkap rutin seharian
yang dijalani si ibu muda itu dalam lingkungan masa beberapa hari lalu
bagi mencari faktor kematian anaknya.
Dalam kejadian menghayat hati itu, pihak berkuasa bergegas ke Taman
Rekreasi La Plata kira-kira jam 7 pagi setelah menerima panggilan dari
orang awam.
Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota polis mengeluarkan tubuh
kanak-kanak terbabit dari buaian sebelum memberikan bantuan, namun
mengesahkan kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia.
Si ibu kemudiannya difahamkan telah dibawa ke sebuah hospital bagi ujian kesihatan,
sementara ujian autopsi ke atas mayat anaknya akan dijalankan bagi mencari punca kematian
kanak-kanak tersebut.
“Ia merupakan situasi yang menyedihkan dan tragik untuk si ibu,
keluarga dan anggota polis. Kita semua ingin tahu punca kejadian
tersebut. Kami bekerja keras untuk itu,” kata sumber berkenaan. -Kedahnews.com