BEIJING – Sambutan Hari Jururawat Sedunia yang berlangsung
pada 12 Mei lalu nampaknya turut dijadikan medan terbaik untuk
mempromosikan kondom dengan penampilan imej jururawat seksi di China
baru-baru ini.
Iklan diterbitkan firma pengeluar alat sarung zakar lelaki yang
terbesar di dunia, Durex yang berpusat di Britain itu bagaimanapun tidak
disedari sesiapa walaupun disiarkan menerusi laman web tempatan ternama
JD.com.
Ironi, penampilan seorang jururawat berpakaian agak ‘nakal’ dengan
gaya ghairah itu menerima kritikan ramai netizen dari seluruh China
sejurus ia dimuat naik secara tidak sengaja melalui laman media sosial
popular Weibo.
Secara kebetulan, iklan itu mula disebarkan seorang doktor dikenali sebagai Wang pada Hari Jururawat Sedunia menerusi akaun Weibo miliknya yang kemudian dikongsi lebih 12,000 pengguna laman sosial tersebut.
Niat pegawai perubatan itu sebenarnya adalah murni iaitu menggalakkan
pemakaian kondom bagi tujuan merancang keluarga, namun disalah tafsir
sebagai mahu mempromosikan seks bebas dalam kalangan remaja.
Apa tidaknya, gaya model jururawat itu pun dianggap kurang sesuai
dengan penampilan imej sopan petugas berkenaan dan lebih aneh, ia
kebetulan adalah iklan kondom sempena ulang tahun ke-100 penubuhan
Durex.
“Penduduk China tidak peduli jika mereka menggunakan promo seksi,
namun penggunaan pakaian seumpama jururawat telah merosak imej baik
petugas ini,” kata Wang ketika dihubungi stesen antarabangsa CNN.
“Sebagai seorang doktor profesional, saya meminta pengeluar iklan
tersebut untuk meminta maaf secara rasmi kepada ribuan jururawat yang
berasa diri mereka diaibkan dengan penampilan kurang sopan itu,”
tambahnya.
Setakat ini, CNN melaporkan, pihak pentadbir laman JD.com
telah menarik keluar iklan tersebut dan mengkaji kemungkinan untuk
tidak menyiarkan bahan promosi sedemikian pada masa depan. – Agensi