"Imam Mahdi" Mana Pulak Buat Kacau Di Masjidil Haram Ni?

MAKKAH – Seorang jemaah umrah warganegara asing ditangkap polis Arab Saudi setelah memecahkan penghadang diperbuat daripada kaca di hadapan Bukit Safa dan bergelut dengan para pegawai keselamatan.

Kejadian bermula apabila dia mendaki bukit bersejarah itu sambil menjerit “Sayalah Mahdi” selepas memecahkan kaca dengan sebuah kerusi kecil untuk warga emas solat duduk yang diletakkan di hadapan Masjidil Haram.

Sebuah rakaman video yang menunjukkan lelaki itu tiba-tiba naik berang menjadi ‘viral‘ dan tersebar luas di media sosial, hingga dikutuk ramai pengguna, lapor akhbar tempatan Arab News. Kejadian berlaku Rabu lalu.


Jurucakap polis Makkah berkata, siasatan awal menunjukkan jemaah itu, merupakan warga Yaman yang telah lama menetap di Makkah dan kelihatan menghidap penyakit mental, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pihak berkuasa berkata, adalah terlalu awal untuk memberikan perincian lanjut dan menafikan peristiwa itu ekoran serangan agresif pasukan tentera pelbagai negara Liga Arab ke atas pemberontak Houthi di Yaman.

Menurut Arab News, ramai mengutuk tindakan suspek yang merosakkan suasana aman di kawasan Masjidil Haram ketika kerajaan Arab Saudi menghabiskan berbilion-bilion riyal bagi kerja peluasan dan keselamatan.

file-10-Safa-attack.jpg

“Saya menonton video ini di media sosial. Ia satu perbuatan yang mengejutkan dan patut dikutuk. Orang seperti ini tidak beradab, walhal dia sedang memakai kain ihram,” ujar seorang warga Arab Saudi, Abdulaziz Khalq.

Ketika ramai pengguna mengutuk tindakan lelaki berkenaan, tidak kurang juga mempersoalkan mengapa pegawai keselamatan dan kakitangan masjid tiada di tempat kejadian untuk mengelak insiden tersebut daripada berlaku.

Seorang rakyat tempatan, Ahmed Ibrahim pula berkata, pegawai keselamatan sepatutnya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan hairan bagaimana lelaki itu boleh terlepas bebas mengganggu suasana tenang di Masjidil Haram.

“Dia kacau jemaah yang sedang menjalani ibadah umrah ketika itu. Jika dia menghidap penyakit mental, mengapa keluarganya membenarkan dia keluar keseorangan? Ahli keluarganya patut disoal siasat,” ujar beliau. – Agensi