Imigresen Kedah Cekup 10 Warga Asing, Seorang Rakyat Tempatan Di Jitra

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 10 lelaki warga asing serta seorang lelaki tempatan dalam serbuan di tapak pesta ria di Taman Mahsuri, Jitra di sini malam tadi.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata sembilan lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki Pakistan berumur 18 hingga 35 tahun ditahan kira-kira 9.15 malam ketika sedang bekerja di tapak pesta tersebut.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati sembilan warga Myanmar itu melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini, manakala lelaki Pakistan didapati melanggar syarat-syarat pas yang diberikan.
Beliau berkata lelaki tempatan berumur 34 tahun yang juga majikan kepada warga asing itu disiasat kerana melindungi warga asing. - Bernama