ALOR SETAR – Imigresen Kedah mematahkan cubaan menyeludup masuk enam
wanita warga asing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit
Kayu Hitam semalam.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata seorang wanita tempatan
berumur 48 tahun turut ditahan kerana cuba menyeludup masuk dan
memperdagangkan enam wanita warga Kemboja ke negara ini, kira-kira pukul
4.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati wanita terbabit menjanjikan pekerjaan di
Kuala Lumpur kepada warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari
ini.
Beliau berkata suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 117
Kanun Tatacara Jenayah kerana kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan
Manusia dan Penyeludupan Migran.
Kataya siasatan mendapati enam wanita Kemboja berumur antara 23
hingga 29 tahun berasal dari beberapa tempat seperti di Battambang, Siem
Reap, Kandal dan Kampong Cham di Kemboja.
Mohamad Yusri berkata kesemua warga asing itu dikatakan menaiki
sebuah kenderaan dari Kemboja ke negara jiran, Thailand melalui jalan
darat pada malam 1 Mei sebelum masuk ke negara ini.
Katanya kesemua mereka yang memiliki dokumen sah diselamatkan dan dihantar ke rumah perlindungan buat sementara waktu. – BERNAMA