ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 16 warga asing dalam empat operasi di sekitar Alor Setar dan Sungai Petani semalam.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam ‘Ops Selera’, ‘Ops
Sapu’ dan ‘Ops Dandan’ di sekitar Alor Setar, tiga lelaki Myanmar,
seorang lelaki India, seorang lelaki Nepal dan empat wanita Indonesia
telah ditahan.
“Dalam operasi bermula 4.50 petang itu, pemeriksaan telah dilakukan
terhadap 23 warga asing dengan sembilan daripada mereka berumur antara
20 hingga 48 tahun telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam ‘Ops Pintu’ di Taman Mewah dan Taman Intan, Sungai Petani 4.25
petang itu, tujuh lelaki Pakistan berumur antara 20 hingga 47 tahun
turut ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, katanya.
Menurut Mohamad Yusri, kesemua warga asing yang ditahan itu kini
ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam
Negeri (KDN) di sini, sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik.
– BERNAMA